Kongres Pendidikan Melayu hari ini memutuskan untuk menubuhkan persatuan bagi memantau bidang pendidikan, tabung pendidikan dan institut penyelidikan serta pembangunan khas orang Melayu.

"(Penubuhan ini) adalah cadangan konkrit yang saya kira akan menjadi titik tolak penting dalam kebangkitan Melayu," kata pengerusi kongres Tengku Razaleigh Hamzah dalam ucapan penutup persidangan dua hari petang tadi.

Penubuhan persatuan, tabung dan institut kajian itu diumumkan melalui Deklarasi Putra selepas kongres itu yang julung-julung kali diadakan, anjuran Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat dan Kumpulan Melayu Prihatin.

Tengku Razaleigh, seorang tokoh politik Umno, juga berkata cadangan dan resolusi yang diputuskan dalam kongres itu mesti dipandang serius.

"Jawatankuasa kongres yang sedia ada akan menimbang semua resolusi yang dibentangkan dan selepas penubuhan persatuan itu nanti, kita akan lihat tindakan sewajarnya," katanya kepada akhbar selepas acara itu.

Beliau bagaimanapun tidak menyebut tarikh penubuhan persatuan itu dan mereka yang akan menganggotainya. "Yang pasti kita akan lakukannya secepat yang boleh," kata ahli parlimen kawasan Gua Musang.

Sementara dalam sesi pembentangan laporan bengkel, kongres bersetuju agar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) milik bumiputera diberikan pertimbangan untuk dinaikkan taraf kepada kolej universiti.

Presiden Kebangsaaan IPTS Bumiputera, Dr Ismail Mohd Salleh dalam kertas kerjanya 'Pendidikan Tinggi dalam Melahirkan Sumber Tenaga Manusia' menyarankan perkara itu bagi membantu kerajaan mencapai sasaran peningkatan 40 peratus remaja dalam lingkungan usia 17 hingga 23 tahun belajar di IPT menjelang tahun 2010.

Tingkatkan taraf IPTS bumiputera

Kongres juga mencadangkan bantuan kewangan dan sokongan diberikan kepada IPTS milik bumiputera untuk mereka meningkatkan taraf.

Seorang pengerusi bengkel Ahmad Shabery Chik ketika membaca laporannya berkata: "Bagaimanapun IPTS mesti dipantau agar ia tidak lari daripada mengamalkan dasar kerajaan iaitu menjaga hak Melayu."

Laporannya juga mencadangkan sistem merit hanya dilaksanakan apabila pelajar Melayu sudah bersedia dan prasana dipersiapkan. Menurut Ahmad Shabery lagi, dasar-dasar pendidikan tidak harus bertentangan dengan peruntukan hak istimewa orang Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dua lagi kertas kerja yang dibentangkan hari ini, 'Pendidikan Vokasional dan Teknikal untuk Melahirkan Tenaga Kerja Mahir dan Separa-Mahir' (disediakan oleh ketua pengarah Majlis Amanah Rakyat Malaysia, Datuk Mohd Mydin Mohd Sheriff) dan 'Memartabatkan Profesion Perguruan' (dekan fakulti ilmu kemanusiaan dan sains sosial Universiti Tun Abdul Razak, Prof Datuk Dr Ibrahim Ahmad Bajunid).

Sebanyak 63 resolusi telah dikemukakan daripada enam bengkel yang membincangkan tiga kertas tersebut.

Sementara 29 resolusi lagi dikemukakan hasil perbincangan tiga kertas kerja yang dibentangkan pada sebelah pagi semalam.

Kertas kerja bertajuk 'Dasar dan Pelaksanaan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan' dibentangkan oleh ketua pegawai eksekutif Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) Profesor Datuk Dr Syed Othman Al Habshi, 'Prestasi Pelajar Melayu-Bumiputera di peringkat sekolah rendah, menengah dan IPT' (Presiden Majlis Belia Malaysia, Saifuddin Abdullah) dan 'Pendidikan Agama untuk Pembangunan Insan' (Presiden Kolej Islam Darul Ehsan, Dr Zainuddin Jaafar).