Isma nafi anjur demo di kuil Subang Jaya hari ini
Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) menafikan sekeras-kerasnya terbabit dalam penganjuran demonstrasi dan perarakan ke Kuil Sri Maha Mariamman, di Subang Jaya, hari ini.
Media rasmi NGO itu Ismaweb memetik presidennya Aminuddin Yahaya sebagai menyifatkan tindakan pihak yang mengaitkan mereka sebagai tidak bertanggungjawab dan mahu mengheret pertubuhan Islam untuk dilihat sebagai ekstremis.
“Sehubungan itu, saya menggesa pihak tidak bertanggungjawab berhenti mengaitkan Isma dengan gerakan-gerakan seumpama itu, yang hanya memberikan pandangan negatif masyarakat terhadap Isma.
“Saya turut meminta rakyat supaya tidak terpengaruh dan percaya dengan perkara seumpama ini,” beliau dipetik sebagai berkata.
Terdahulu, tersebar poster berkaitan perhimpunan itu yang turut memuatkan gambar Islam dan beberapa NGO dan parti politik.
Setakat ini polis menahan 21 individu. Dalam tangkapan terbaru, dua suspek ditahan bersama parang yang ditemui dalam kenderaan dinaiki, menurut polis.
Sebanyak 23 kenderaan terbakar dan sebuah lori bomba dirosakkan dalam insiden itu. Seorang anggota bomba yang sedang bertugas juga dilaporkan cedera selepas diserang di tempat kejadian awal pagi tadi.
Kompleks beli belah berdekatan One City Mall juga menjadi mangsa vandalisme apabila cerminnya dipecahkan perusuh.
Kuil lama yang dikatakan dibina pada tahun 1891 itu sepatutnya dipindahkan pada 22 November lalu.
Tapak kuil itu mahu dipindahkan selepas selepas hartanah itu dibeli oleh syarikat pemaju One City Development Sdn Bhd pada 2017.
Setelah dibawa ke mahkamah, penghakiman persetujuan dicapai pada 2014 dengan One City dan dua pihak yang mahu menguruskan kuil itu setuju ia dipindahkan ke sebidang tanah yang terletak kira-kira 3km dari tapak asal.
Susulan persetujuan itu, One City menderma RM1.5 juta kepada pihak kuil.
Bagaimanapun, terdapat penganut Hindu yang menentang rancangan pemindahan itu.

