Pemilik studio: Tiada dadah pada malam sambutan Tahun Baru
Terjemahan Pemilik studio muzik persendirian yang diserbu polis pada malam sambutan Tahun Baru lalu menegaskan bahawa majlis yang diadakan di tempatnya itu bebas daripada dadah dan minuman keras.
Terjemahan Pemilik studio muzik persendirian yang diserbu polis pada malam sambutan Tahun Baru lalu menegaskan bahawa majlis yang diadakan di tempatnya itu bebas daripada dadah dan minuman keras.
"Malah kami tidak benarkan langsung pengunjung menghisap rokok, apatah lagi mengambil dadah ketika menghadiri pertunjukan tersebut," kata Paul Millot ketika ditemui dekat studio Paul's Place di Jalan Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, semalam.
Millot, yang tidak berada di studionya ketika ia diserbu polis berkata, beliau kemudiannya diberitahu bahawa beberapa orang pengunjung telah ditahan tetapi mereka tidak tahu sama ada sesiapa yang mengambil dadah pada malam tersebut.
Dalam serbuan pada jam 10.45 malam tersebut kerana disyaki mengadakan konsert 'Black Metal', seramai 365 orang ditahan dan dibawa ke ibupejabat polis Brickfields untuk ujian air kencing.
Millot, 51, percaya dua pertiga daripada mereka yang ditahan itu tidak ada kena mengenai dengan majlis tersebut memandangkan studionya itu tidak mampu memuatkan lebih daripada 100 orang.
Katanya, ramai daripada mereka yang ditahan itu datang dari kawasan letak kereta (foto) dan gerai makan berhampiran Paul's Place, yang digunakan pengunjung disco-disco berhampiran.
Beliau juga mendakwa, seorang pemilik gerai makan di situ turut ditahan dalam serbuan tersebut.
Tiada bukti
Ditanya sama ada tujuh daripada mereka yang ditahan itu, yang didakwa pihak polis positif dadah, adalah pengunjung tempatnya, Millot berkakta, beliau tidak pasti kerana nama mereka tidak disiarkan.
"Perkara penting di sini ialah polis tidak menemui sebarang bukti di Paul's Place bahawa ada pengunjung yang mengambil dadah [...] tidakkah itu menunjukkan yang mereka yang diuji positif dadah, bukannya dari Paul's Place?" katanya.
Millot, seorang saintis yang mengisi waktu malamnya bermain drum muzik blues menyewa tingkat tiga rumah kedai itu untuk sesi jamming bersama rakan-rakannya. Ruang tersebut adakalanya disewa kepada orang luar untuk mengadakan persembahan peribadi.
Millot menjelaskan, majlis seumpama itu dianggap peribadi kerana mereka yang menghadirinya adalah sebahagian dari kalangan masyarakat pemuzik bebas.
Mengenai dakwaan bahawa minuman keras turut dijual di majlis sambutan Tahun Baru itu, beliau berkata, bir itu bukan untuk dijual.
"Tiga peti bir yang ditemui oleh polis itu disimpan di bawah meja. Kerana itu kami dituduh polis menjual minuman keras kepada pengunjung yang sebahagian besarnya beragama Islam. Bukankah bir perlu disejukkan terlebih dahulu sebelum diminum?" katanya.
Menurutnya peti minuman itu disimpan di bawah meja, tetapi ianya turut dirampas pihak polis. Peralatan muzik, termasuk peralatan drum milik Millot, juga turut dirampas.
Beliau meminta pengunjung yang barangan mereka turut dirampas, supaya menghubunginya melalui emelnya untuk mendapatkan bantuan bagi mendapatkannya semula.
Tindakan undang-undang
Sementara itu, peguam Amer Hamzah Arshad mempersoalkan mengapa pihak polis boleh membenarkan pihak media menemubual mereka yang ditahan, tetapi tidak dibenarkan untuk menemui peguam.
Beliau mengkritik keputusan pihak polis membenarkan enam tahanan hadir di sidang akhbar selepas serbuan tersebut dibuat untuk menjawab soalan dari Ketua Polis Brickfields, ACP Mohd Dzuraidi Ibrahim dan para wartawan.
(Temubual tersebut disiarkan dalam Buletin Utama TV3 pada 1 Januari, manakala sebahagian daripadanya disiarkan dalam tabloid bahasa Melayu Harian Metro pada hari berikutnya).
"Ia tidak masuk akal. Apakah keistimewaan yang ada pada media yang tidak ada pada peguam?" tanya Amer ketika dihubungi hari ini, Amer akan mewakili Millot dan beberapa yang lain dalam saman yang difailkan terhadap pihak polis kerana melakukan tahanan yang tidak sah dan menceroboh.
Sementara itu, seorang lagi peguam, N Surendran menggesa Dzuraidi supaya meletak jawatan kerana melanggarkan Artikel 5 (3) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak tahanan untuk mendapatkan khidmat guaman.
"Pihak polis adalah pelindung Perlembagaan Persekutuan, tetapi beliau tidak menunjukkan rasa hormat terhadap peruntukan perlembagaan apabila dia menafi hak pelanggan saya untuk mendapat khidmat guaman," katanya.
Semalam, Dzuraidi berkata, pihak polis tidak dapat memenuhi permintaan Surendran untuk menemui pelanggannya kerana mereka sedang sibuk dengan proses menyediakan dokumen para tahanan.
"Kalau itulah sebabnya, bagaimana pula mereka ada masa untuk mempamerkan enam tahanan tersebut di depan pihak media?" soalnya.
Beliau berkata, memandangkan hasil ujian dadah ke atas 358 tahanan itu negatif, maka pihak polis tidak mempunyai alasan yang munasabah untuk melakukan "tangkapan beramai-ramai itu".
Surendran juga akan memfailkan satu lagi saman bagi pihak beberapa tahanan terbabit, terhadap pihak polis kerana didakwa menahan mereka secara tidak sah dan atas kesalahan-kesalahan yang lain. Berita asal


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.