Kerusi Rantau: SPR rayu fakta kes mahkamah
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memfailkan rayuan terhadap fakta kes dalam keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban yang mengisytiharkan keputusan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sebagai terbatal dan tidak sah serta perlu diadakan semula.
Pengerusinya, Azhar Azizan Harun, dalam satu kenyataan hari ini, berkata keputusan itu dicapai setelah meneliti penghakiman lisan di dalam kes petisyen pilihan raya DUN Rantau dan mengambil kira nasihat peguam.
“Ia juga diambil kira khususnya mengenai kesan beberapa dapatan fakta dan undang-undang terhadap para petugas dan SPR sendiri kepada operasi dan penjalanan pilihan raya di masa akan datang.
“SPR ingin menjelaskan bahawa rayuan yang dibuat adalah berdasarkan dapatan fakta terhadap SPR dan para petugas dan tidak melibatkan pembatalan keputusan pilihan raya DUN Rantau semasa PRU14,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 November lalu, mengisytiharkan kemenangan Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan bagi DUN Rantau pada PRU14 adalah terbatal dan tidak sah.

