Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kelantan sah tarik balik larangan pada Husam, Wan Rahim

Setiausaha Kerajaan Negeri, Nazran Muhammad mengesahkan larangan masuk ke pejabat-pejabat berkaitan kerajaan negeri ke atas beberapa individu sebelum ini sudah ditarik balik.

Antara individu yang dikenakan larangan itu sebelum ini adalah Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan Husam Musa dan Pengerusi Amanah Kelantan Wan Abd Rahim Wan Abdullah.

Menurut Berita Harian, Nazran mengesahkan pembatalan larangan itu tetapi enggan mengulas lanjut perkara itu.

Katanya, surat itu ditujukan kepada individu yang sebelum ini disenarai hitam, termasuk Husam dan Wan Rahim.

Petang tadi, Malaysiakini melaporkan tentang surat bertarikh 21 Nov 2018 menggunakan tajuk 'Penarikan balik larangan kepada individu-individu yang telah disenaraihitamkan dari memasuki Kompleks Kota Darulnaim dan pejabat-pejabat kerajaan negeri Kelantan.'

Menurut surat tersebut, penarikan balik larangan berkenaan merupakan arahan daripada setiausaha kerajaan negeri.

"Bagaimanapun larangan memasuki istana-istana Kelantan yang telah dikeluarkan kepada individu-individu disenaraihitamkan sebelum ini masih berkuatkuasa seperti biasa," kata notis yang didakwa ditandatangani Nazran.

Pada 27 Mei lalu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan Husam Musa dan Pengerusi Amanah Kelantan Wan Abd Rahim Wan Abdullah dilarang memasuki pejabat kerajaan negeri dan istana di negeri itu.

Untuk rekod pingat kebesaran Husam dan Abdul Rahim juga ditarik balik oleh pihak istana Kelantan.


Baca SUK Kelantan: Saya tak kata larangan ke atas Husam arahan istana


Bagaimanapun Husam yang kini dilantik menjadi anggota Dewan Negara diberikan pingat oleh kerajaan Melaka.

Malaysiakini cuba mendapatkan komen daripada Nazran bagi mengesahkan surat berkenaan namun setakat ini belum berhasil.

Sementara itu Wan Abd Rahim yang dihubungi Malaysiakini memberitahu beliau tidak ada maklumat mengenainya.

"Tak ada lagi setakat ini, ambo (saya) pun tak dapat lagi apa-apa surat daripada kerajaan negeri," katanya ringkas.

Lihat Komen
ADS