Lima jemaah haji Msia cedera apabila bangunan runtuh di Mekah
Lima jemaah haji Malaysia dilaporkan cedera apabila sebuah bangunan asrama yang menempatkan jemaah rakyat asing runtuh di Mekah petang tadi.
Lima jemaah haji Malaysia dilaporkan cedera apabila sebuah bangunan asrama yang menempatkan jemaah rakyat asing runtuh di Mekah petang tadi.
Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Dr Azmi Ahmad berkata dalam kejadian jam 1 petang waktu tempatan (6 petang waktu Malaysia) itu, seorang jemaah wanita dimasukkan ke Hospital King Faisal manakala empat lagi yang cedera ringan diberi rawatan oleh petugas kesihatan Tabung Haji.
Katanya, kejadian berlaku ketika semua mangsa dalam perjalanan pulang ke kediaman masing-masing selepas menunaikan solat Zohor di Masjidil Haram.
"Mangsa sedang lalu di bangunan tersebut apabila tiba-tiba ia runtuh dan mengenai jemaah kita yang sedang berjalan pulang itu," katanya kepada Bernama.
Bangunan yang runtuh itu terletak hanya 50 meter dari tempat penginapan jemaah Malaysia yang terlibat.
Dr Azmi berkata, keadaan wanita yang cedera itu setakat ini belum diketahui.
Beliau menasihatkan waris jemaah haji di tanahair supaya tidak bimbang kerana bangunan yang runtuh itu bukan sebahagian daripada penempatan jemaah Malaysia.

