Bangunan runtuh, jemaah M'sia bersyukur masih hidup
Seorang jemaah haji Malaysia terkena serpihan bangunan runtuh di Jalan Al Judaria di Mekah bersyukur kerana beliau dan isterinya yang cedera parah masih diberi Allah kesempatan hidup sekalipun itu pengalaman paling pahit pernah dilaluinya.
Seorang jemaah haji Malaysia terkena serpihan bangunan runtuh di Jalan Al Judaria di Mekah bersyukur kerana beliau dan isterinya yang cedera parah masih diberi Allah kesempatan hidup sekalipun itu pengalaman paling pahit pernah dilaluinya.
Menurut laporan Agensi Berita Arab Saudi, 15 terbunuh dan 39 lagi cedera termasuk lima jemaah haji Malaysia, tiga dirawat di Hospital King Faisal dan dua dirawat sebagai pesakit luar.
Menceritakan detik-detik kejadian itu, Mohd Yunus Meri, 58, berkata beliau dan isterinya Saliam Sahid, 56, yang retak tulang rusuk dan tulang pipi terpaksa dimasukkan di Hospital King Faisal untuk dibedah, sedang menuju ke penginapan setelah menunaikan solat Zohor di Masjidil Haram.
"Mulanya saya kira isteri saya sudah mati kerana bunyi dentuman itu sungguh dahsyat dan keadaan agak kelam-kabut dengan manusia berasak-asakan, ceritanya malam tadi ketika ditemui di hospital itu untuk menemani isterinya".
"Saya sedang berada di tengah jalan yang padat dengan jemaah haji manakala isteri saya tidak jauh dari saya. Tiba-tiba terdengar bunyi dentuman," katanya.
Menurut laporan Bernama, Mohd Yunus yang hanya cedera di tumit, berkata apabila menoleh ke sebelah kanan, beliau dapati satu bangunan sedang runtuh dengan diikuti oleh kepulan debu yang tebal.
Beliau terus menjerit sambil memanggil isterinya: Sayang! Sayang! Tapi tidak ada jawapan. Tidak lama selepas itu, beliau melihat beberapa orang berpakaian Arab sedang mengangkat isterinya yang sedang pengsan.
Isteri tercedera
Mohd Yunus yang masih berpakaian ihram kerana mengerjakan haji ifrad berkata tidak lama selepas itu, isterinya sedar dan cuba untuk bangun tetapi tidak dibenarkan olehnya.
Mereka yang memberi bantuan itu, katanya seorang antaranya mengakui sebagai doktor sungguh baik dan bersungguh-sungguh sekali membantu isterinya, cerita beliau mengenai bangunan empat tingkat yang runtuh pada kira-kira pukul 1 tengah hari waktu tempatan (jam 6 petang waktu Malaysia).
Mohd Yunus berkata nasib mereka mungkin lain kalau berjalan pulang dengan menyusur tepi bangunan sepanjang jalan itu yang dipenuhi dengan kedai-kedai dan hotel.
Beliau yang berasal dari Kampung Bukit Krayong, Kapar, Selangor dan bekas penghulu mukim Rawang, ditempatkan di "Maktab" 85 oleh Tabung Haji yang mengurus perjalanan haji mereka yang tiba di Tanah Suci pada 22 Disember lalu.
"Maktab" 85 terletak kira-kira 200 meter sementara bangunan runtuh itu terletak 50 meter pada jalan yang sama dari pintu pagar utara Masjidil Haram.
Masjidil Haram, terletaknya Kaaba, kiblat umat Islam, kini menjadi tumpuan lebih dua juta umat Islam yang datang ke Tanah Suci untuk menunaikan fardu haji, rukun Islam kelima bagi mereka yang mampu daripada segi kewangan dan jasmani.
Kerusi roda
Jemaah Malaysia akan berangkat ke padang Arafah, kira-kira 22 km dari Masjidil Haram, selepas solat zohor pada Ahad ini.
Sementara itu, seorang lagi mangsa Jamil Awang, 42, yang patah khaki kanan berkata ketika kejadian itu berlaku, beliau sedang menyorong kakaknya yang menggunakan kerusi roda untuk menuju ke tempat penginapan "maktab" 84 setelah menunaikan solat zohor di Masjidil Haram.
Katanya selain kakaknya, Rusli Awang, 48, yang mengalami penyakit tulang bersama beliau ialah isterinya dan abang iparnya (suami Rusli).
"Kaki saya ditimbus oleh batu-batu daripada serpihan bangunan yang runtuh menyebabkan saya tidak dapat bergerak."
"Saya hanya menjerit Allahu akbar! Allahu akbar! sambil menahan kesakitan. Ketika itu saya lihat beberapa orang sedang mengais-ngais batu yang menimbus kaki dan badan saya," kata Jamil yang berasal dari Tanjung Kapur, Kudat, Sabah.
Setelah berjaya ditarik keluar, beliau yang turut menerima 10 jahitan di dagu, bertanya di mana kakaknya yang juga turut dirawat di hospital itu, tetapi abang iparnya memberitahu bahawa beliau selamat dan hanya calar-calar di badan.
Jamil berkata empat lagi anggota keluarga yang turut menunaikan haji berada di kawasan lain ketika kejadian itu berlaku.
"Saya bersyukur kepada Allah kerana masih hidup. Pasti banyak yang mati tertimbus kerana orang terlalu padat selepas balik sembahyang," katanya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.