Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan peguam Muhammad Shafee Abdullah untuk masuk campur rayuan saman pemula Presiden PKR Anwar Ibrahim yang sebelum ini mendakwa tidak mendapat perbicaraan adil kerana Shafee dibayar RM9.5 juta.

Hakim Vernon Ong yang mengetuai penghakiman bagaimanapun tidak membenarkan Shafee mengeluarkan afidavit yang difailkan pegawai petugas khas Pejabat Peguam Negara Siti Rahayu Mohd Mumazaini.

"Keputusan sebulat suara untuk membenarkan Shafee masuk campur memandangkan kepentingan undang-undangnya akan terjejas kerana dakwaan (Anwar) adalah berhubung bayaran RM9.5 juta kepada Shafee.

"Tambahan pula, Shafee dibabitkan dalam permohonan penemuan (Anwar) dan beliau dua kali menghadiri prosiding itu di Mahkamah tinggi," katanya.

Hakim Ong membenarkan Shafee masuk campur tanpa perlu membayar kos tambahan.

Hakim lain yang terlibat dalam prosiding itu ialah Mary Lim dan Hasnah Mohamed Hashim.

Anwar sebelum ini membuat rayuan ke atas saman pemula ke atas kerajaan yang ditolak Mahkamah Tinggi tahun lalu.

Anwar memfailkan saman berkenaan kerana mendakwa tidak diberi perbicaraan adil dalam rayuan kes liwat II di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan kerana pelantikan Shafee sebagai pendakwa dengan bayaran RM9.5 juta yang dibayar perdana menteri ketika itu, Najib Razak.

[Baca berita penuh]