K’jaan Selangor jamin tak roboh kuil hingga penyelesaian menyeluruh
Kerajaan negeri Selangor memberi jaminan Kuil Sri Maha Mariamman di Seafield, USJ, Subang Jaya tidak akan dirobohkan sehingga satu penyelesaiah menyeluruh dibuat pada 11 Januari tahun depan membabitkan antara pihak kuil dan pemaju, kata Menteri Besar Amirudin Shari.
Menurutnya, ini kerana keputusan tentang masa depan kuil itu akan ditentukan dalam satu prosiding mahkamah pada tarikh tersebut.
"Sehingga satu penyelesaian menyeluruh dapat dibuat, makanya saya akan beri jaminan tidak ada sebarang perobohan terhadap kuil terbabit atau pun tindakan undang-undang dibuat kerana pada 11 Januari, barulah akan ada satu prosiding di mahkamah berkenaan satu injuksi supaya tidak akan ada perobohan atau penghalangan perobohan dibuat.
"Jadi dari tempoh sekarang sampai ke bulan Januari saya dapat lihat ada jaminan tidak ada sebarang perobohan akan dilaksanakan dan dengan itu kita akan dapat mengekalkan keadaan kuil tersebut," katanya pada sidang media di DUN Selangor hari ini.
Amiruddin juga berkata, kerajaan negeri akan menjadi "orang tengah" untuk mulakan perbincangan dengan semua pihak yang terbabit selewat-lewatnya pada Selasa depan untuk mencapai penyelesaian.
Bagaimanapun, beliau meletakkan syarat bahawa tidak akan ada sebarang perhimpunan serta provokasi yang akan menyebabkan kekecohan itu berulang.
"Dengan syarat, saya letakkan syarat ini bahawa selepas ini jika tidak ada lagi sebarang perhimpunan dan juga provokasi serta dapat mengikut arahan daripada kerajaan negeri dan ini akan menyebabkan keamanan berjaya distabilkan semula di kawasan terbabit.
"Kerajaan negeri Selangor akan mulakan perbincangan dengan semua pihak yang terbabit untuk memastikan penyelesaian terbaik termasuk beberapa pilihan yang telah dicadangkan oleh pihak kerajaan negeri oleh beberapa pihak untuk penyelesaian kuil ini secara menyeluruh," katanya.
Pada masa sama, beliau juga menafikan spekulasi yang tersebar semalam bahawa kerajaan negeri akan menggunakan wang pembayar cukai untuk mendapatkan semula tapak kuil tersebut daripada pemaju.
Rusuhan di kuil itu berlaku selama dua malam sejak 26 November sekitar 2.30 pagi di mana kekecohan terjadi apabila sekumpulan individu didakwa menceroboh kuil.
Susulan daripada kekecohan tersebut, seorang anggota bomba yang sedang bertugas juga dilaporkan cedera selepas diserang di tempat kejadian awal pagi tadi.

