Menteri Pembangunan Usahawan Mohd Redzuan Md Yusof berkata pengerusi baru Lembaga Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) sudah dikenal pasti dan akan diumumkan dalam masa yang terdekat.
Jelas Mohd Redzuan, pihaknya kini hanya menunggu maklum balas daripada Bank Negara Malaysia (BNM) bagi memastikan pelantikan pengerusi baru itu nanti menepati visi baru Bank Rakyat.
“Kalau boleh saya nak umum semalam, tapi sebab ikut prosedur BNM, saya tak mahu buat keputusan melulu.
“Saya boleh jamin dan yakin calon ini seorang profesional yang telah berkecimpung dalam pengurusan perbankan di peringkat antarabangsa. [...] Dia juga bukan ahli politik,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di lobi parlimen hari ini.
Jawatan pengerusi Bank Rakyat sebelum ini dipegang Shukry Mohd Salleh yang pernah menjadi setiausaha sulit bekas perdana menteri Najib Razak.
Pada 26 Nov lepas, Shukry dipecat daripada jawatan itu berkuat kuasa serta-merta kerana didakwa terlibat dalam meminda laporan audit 1MDB.
Shukry didakwa mengarahkan bahagian yang menyebut ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low dikeluarkan daripada laporan itu.
Mengulas hal berkenaan, Redzuan yang juga merupakan anggota parlimen Alor Gajah berkata penyingkiran Shukry dilakukan bagi memelihara nama baik Bank Rakyat daripada tercemar berikutan kontroversi yang terpalit pada Shukry.
“Kita nak tunggu kontrak tamat sepatutnya, tetapi dengan adanya keadaan semasa melibatkan integriti, melibatkan pengkhianatan pada negara jadi saya tidak teragak-agak untuk menyingkirkan beliau daripada jawatan pengerusi.
“[...] Walaupun beliau belum dituduh di mahkamah, sekali imej anda tercemar, imej Bank Rakyat juga akan menerima persepsi negatif,” katanya.
