Hero Everest: Tujuh tahun Moorthy menderita tanpa dipedulikan...
Terjemahan Selama tujuh tahun M Moorthy bergelut dengan keadaan dirinya yang lumpuh dan pada masa yang masa, menghadapi tekanan jiwa yang amat sangat. Namun, dalam keadaannya yang amat memerlukan pertolongan, tiada adapun badan-badan agama yang muncul membantu mengurangkan penderitaannya itu.
Terjemahan Selama tujuh tahun M Moorthy bergelut dengan keadaan dirinya yang lumpuh dan pada masa yang masa, menghadapi tekanan jiwa yang amat sangat. Namun, dalam keadaannya yang amat memerlukan pertolongan, tiada adapun badan-badan agama yang muncul membantu mengurangkan penderitaannya itu.
Bekas anggota komando itu amat memerlukan khidmat kaunseling psikologi selepas lumpuh seluruh badannya pada bulan Ogos 1998.
Francis Siva, yang mengendalikan Pusat Latihan dan Kehidupan Independen (ILTC), mengenali Moorthy sejak hero Everest itu ditimpa kemalangan semasa menjalani latihan sehingga terpaksa menggunakan kerusi roda sejak tujuh tahun lalu.
November lalu, ketika berada di ITLC di Rawang, Moorthy terjatuh dari kerusi rodanya dan tercedera di bahagian kepalanya yang terhantuk pada lantai simen.
Anggota pasukan ekspedisi Malaysia menawan Gunung Everest pada 1997 itu koma tiga hari kemudiannya di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan meninggal dunia pada 20 Disember lalu.
Kematiannya mencetus perebutan antara balunya S Kaliammal yang berkeras menyatakan suaminya penganut agama Hindu manakala pihak berkuasa agama Islam pula mengatakan Moorthy telah memeluk Islam.
Walaupun tidak diketahui secara jelas bilakah sebenarnya Moorthy memeluk Islam, tetapi Majlis Hal-Ehwal Agama Islam Wilayah Persekutuan, mendakwa, hero Everest itu memeluk Islam dua tahun lalu, dan menukar namanya kepada Mohammad Abdullah.
Hanya segelintir orang sahaja mengetahui yang Moorthy memeluk Islam, tetapi isterinya dan Francis tidak tahu menahu mengenainya.
Kaliammal berkata, beliau hanya dimaklumkan mengenai perkara tersebut oleh seorang rakan tentera Moorthy apabila suaminya telah koma.
Berikutan perebutan mayat Moorthy yang akhirnya telah dikebumikan secara Islam, badan antara agama bukan Islam telah mendesak supaya dibuat pindaan pada Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan hak mereka dilindungi. Satu kempen untuk meminta perlembagaan telahpun dilancarkan.
'Tidak dapat terima hakikat'
Tetapi di tengah-tengah kekalutan itu, Francis berkata akar umbi masalah rakannya itu lebih merupakan masalah psikologi daripada masalah agama.
"Moorthy tidak tahu bagaimana berdepan dengan keadaan itu dari seorang hero negara menjadi orang kurang upaya seperti kami. Dia tidak dapat menerimanya. Dia tidak dapat memahami ketidakupayaannya itu.
"Dia seorang yang aktif yang mencapai banyak kejayaan dalam hidupnya dan mahu terus mencapai lebih banyak lagi kejayaan. Kehilangan keupayaannya untuk menggerakkan kaki dan tangannya, telah menghancurkan segala impiannya itu.
"Pada mulanya, dia menyangka latihan senaman boleh mengembalikan semula kehidupannya seperti sediakala. Tetapi selepas beberapa ketika, dia menjadi begitu tertekan sekali," katanya ketika ditemui semalam.
Francis dan isterinya, Gurdip Kaur (foto), yang menjadi Setiausaha ILTC, pertamakali bertemu dengan Moorthy kira-kira enam tahun lalu apabila dia dirawat di HKL kerana kecederaan tulang belakang.
"Selepas bencana tsunami melanda tahun lalu, dia memberitahu kami yang dia begitu takut sekali dan betapa mudahnya kita akan musnah, terutama golongan tidak berupaya," tambah Kaur.
Kata Francis, Moorthy adakalanya bercakap mengenai masalah kewangan yang semakin membebankanya berikutan keadaan fizikalnya. Dia juga bimbang mengenai masa depan keluarganya.
"Dia memberitahu saya betapa beratnya masalah kewangannya yang ditanggungnya yang mencukupi untuk menampung keperluan, termasuk rawatan kesihatannya dan pendidikan anak perempuannya yang berusia sembilan tahun," tambahnya.
Menurut pasangan suami isteri itu lagi, gabungan tekanan emosi dan keadaan fizikal Moorthy telah menjadi beban besar yang memakan dirinya sendiri.
Seorang anggota keluarganya masih ingat bagaimana Moorthy mengeluarkan kata-kata kesat terhadap mereka, sesuatu yang tidak pernah dilakukannya sebelum dia ditimpa kemalangan itu.
"Dia panggil saya macam-macam...dia tidak pernah berkelakuan sedemikian sebelum kemalangan tersebut. Dari situ, saya sedar yang dia bukan insan yang sama seperti yang saya kenali sebelumnya," kata abang Moorthy.
Mudah terpengaruh
Mengulas perkara itu, Francis (foto) berkata Moorthy sendiri menyedarinya dan sentiasa berusaha untuk mencari jawapan mengapa dia bersikap tidak menentu seperti itu.
"Moorthy pernah memberitahu saya yang dia tidak tahu mengapa dia melakukan semua itu. Kata Moorthy, dia tahu dia berkelakuan demikian, tetapi dia tidak tahu mengapa...," katanya.
Dalam keadaan sedemikian, Francis berkata, Moorthy mudah terpengaruh dengan bomoh dan keajaiban serta tanggapan bahawa agama boleh mengubat penyakitnya itu.
"Sama ada ianya bomoh Hindu, Kristian, Buddha atau Islam, dia akan mencuba semuanya. Apabila keadaan baik sedikit, bila dia kurang sakit dan boleh tidur, dia akan kata: 'Lihat Francis, rawatan itu berjaya. Lihatlah! Lihatlah!"
Francis mendakwa, pengaruh bomoh-bomoh tersebutlah telah mendorong Moorthy untuk mempercayai bahawa Islam boleh 'menyembuhkan' penyakitnya.
Katanya, keadaan itu juga menjelaskan mengapa Moorthy juga begitu beriya-iya melakukan sembahyang menurut agama Hindu dan serta agama-agama lain.
Menurut Francis, pertubuhan-pertubuhan semua agama perlu meningkatkan usaha untuk memberi khidmat kaunseling dan pemulihan bagi golongan yang baru hilang upaya.
"Dalam keadaannya yang tidak membolehkannya membuat keputusan-keputusan yang rasional, bila keadaan fizikalnya menjadi kritikal, di manakah orang-orang ini yang kini mahu memperjuangkan hak-hak mengenai agama," soal Francis.
"Adakah mana-mana badan agama yang menawarkan khidmat kaunseling kepadanya? Untuk menyejukkan badannya yang sentiasa panas? Menyuapnya makanan? Untuk membersihkan dirinya? Hanya isterinya yang melakukan semua itu. Siapakah yang mengajarnya memandu dalam keadaan kurang upaya dan memberi semangat untuk melakukannya sendiri?" katanya.
Dan apabila soalan yang sama diajukan kepada Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat), jawapannya ialah ibupejabat kor itu akan hanya membantu menyelesaikan 'perkara-perkara berkaitan agama' yang membabitkan anggota tentera jika unit bawahan tidak dapat menanganinya.
Bagaimanapun, Pengarah Kagat, Brig-Jen Jamil Khir Baharom berkata, beliau akan menghubungi unit tempat Moorthy berkhidmat untuk menentukan kedudukan kewangan dan keadaaan dirinya sebelum mengulas mengenai perkara tersebut.
"Orang boleh kata apa saja, tetapi kita perlu menghubungi unitnya untuk mengetahui keadaan dirinya yang sebenarnya," kata Jamil ketika dihubungi. Berita asal

