Terjemahan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KDN) berpuashati dengan pemecatan dua editor kanan akhbar berbahasa Cina, China Press, berikutan kesilapan dalam laporan mengenai seorang wanita yang melakukan ketuk ketampi dalam keadaan bogel, dan tiada lagi tindakan susulan dijangka dikenakan terhadap akhbar milik MCA itu.

Difahamkan, sebelum ini, kementerian berkenaan tidak berpuashati dengan pemecatan dua editor kanan berkenaan dan mahu mengambil tindakan menggantung sementara penerbitan edisi petang akhbar China Press.

Semalam edisi petangnya menyiarkan permohonan maaf secara terbuka berhubung kesilapan dalam laporan tersebut serta mengumumkan perletakan jawatan Ketua Pengarang China Press, Chong Choong Nam (foto) dan Ketua Pengarang Eksekutig, Zhao Ping sebagai mengambil tanggungjawab terhadap kesilapan laporan tersebut.

Jumlah pengedaran akhbar milik MCA itu adalah kedua tertinggi di kalangan akhbar utama berbahasa Cina di negara ini. Ia menerbitkan edisi pagi dan petang.

Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting melawat ibupejabat China Press di Bangsar pagi ini dan mengadakan mesyuarat selama dua jam dengan editor kanannya untuk memaklumkan keputusan KDN itu.

Ketika meninggalkan ibu pejabat China Press kira-kira jam 11.40 pagi, Ong memberitahu malaysiakini yang beliau hanya 'singgap sekejap' dan menegaskan lawatannya itu tiada kena mengena dengan kontroversi tersebut.

"Saya kebetulan lalu di sini...dan bertemu beberapa editor (China Press), berbincang dengan mereka sekejap tiada yang istimewa," katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan ada lagi tindakan susulan terhadap China Press, Ong berkata: "Saya tidak fikir akan ada lagi masalah. Semuanya berjalan seperti biasa."

Sementara itu, akhbar bahasa Melayu, Utusan Malaysia milik Umno hari ini melaporkan bahawa kenyataan permohonan maaf yang disiarkan di muka depan akhbar China Press edisi petang itu, datangnya dari Kementerian Keselamatan Dalam Negeri.

Akhbar itu melaporkan kenyataan tersebut difaks dari kementerian tersebut kepada akhbar China Press untuk disiarkan.

Perhimpunan bantahan

Pengumuman tersebut yang bertajuk "Ketua Pengarang, Ketua Pengarang Eksekutif letak jawatan', berkata laporan dalam edisi 23 November itu silap apabila mendakwa wanita bogel yang melakukan ketuk ketampi dalam klip video itu, adalah rakyat China.

"Berikutan itu, dua editor kanan China Press bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kesilapan tersebut," katanya, sambil menambah yang kedua-dua editor berkenaan mengambil keputusan meletakkan jawatan.

China Press juga menyiarkan permohonan maaf yang tidak terhingga berhubung kesilapan itu dan ketidakselesaan akibat laporan berkenaan.

Pada 19 Disember lalu, China Press akhbar pertama melaporkan mengenai klip video itu telah menerima surat tunjuk sebab dari Kementerian Keselamatan Dalam Negeri yang bertanggungjawab memantau semua penerbitan di negara ini.

Skandal wanita melakukan ketuk ketampi dalam keadaan bogel itu telah mencetuskan masalah diplomatik antara Malaysia dan China.

Sebuah jawatankuasa bebas yang ditubuhkan untuk menyiasat kes tersebut, kemudiannya mengesahkan bahawa wanita dalam klip video itu adalan wanita Melayu tempatan.

Berikutan itu, pihak media telah menjadi sasaran di atas kesilapan melaporkan identiti mangsa berkenaan.

Tercetus juga spekulasi bahawa edisi petang China Press akan digantung sekiranya ia gagal mengambil tindakan yang memuaskan pihak berkuasa, seperti memecat beberapa kakitangan kanannya di jabatan pengarang.

Kumpulan aktivis media dari Pusat Kewartawanan Independen merancang berkumpul di luar ibupejabat China Press pada jam 6 petang ini, untuk membantah campurtangan politik dalam urusan bilik berita. Berita asal