Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
214 barang kes tahfiz terbakar dikemuka di mahkamah

Sebanyak 214 barang kes dalam tragedi kebakaran yang menyayat hati di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, tahun lalu dikemukakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Ketua Unit Siasatan Anti Pemerdagangan Orang/Penyeludupan Migran (D7C) Bukit Aman ASP Khairil Idzwan Ahmad, 42, berkata antara barang kes yang dikemukakan adalah spesimen tulang, air kencing serta darah mangsa. Turut dikemukakan spesimen darah waris mangsa.

“Saya telah menerima kesemua barang kes itu dan semuanya berada dalam keadaan baik kerana tiada apa-apa pindaan oleh saya ke atas spesimen-spesimen tersebut,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurakmal Farhan Aziz pada prosiding perbicaraan kes itu hari ini.

Dua remaja lelaki yang ketika itu berumur 16 tahun didakwa bersama-sama membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz beralamat di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, di sini antara 4.15 pagi dan 6.45 pagi, pada 14 Sept 2017.

Kedua-dua mereka, masing-masing menghadapi 23 pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Khairil Idzwan yang ketika kejadian merupakan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju berkata selain spesimen tersebut, beliau turut menerima cebisan barangan peribadi mangsa termasuk jam, cincin dan pakaian.

Pendakwaan turut dikendalikan Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur Othman Abdullah manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Haijan Omar.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung 29 Jan tahun depan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS