Terjemahan Seorang bekas Hakim Mahkamah Syriah berkata, pemisahan antara mahkamah sivil dengan mahkamah syriah di bawah artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan mesti dikekalkan bagi mengelakkan kekeliruan yang berleluasa dalam masyarakat pelbagai agama di negara ini.

Datuk Sheikh Azmi Ahmad berkata pembatalan peruntukan yang kontroversil dari Perlembagaan Persekutuan tidakakan menghentikan pertikaian yang berlaku antara pihak-pihak yang berbeza fahaman agamanya.

"Saya rasa peruntukan itu tidak perlu diubah. Kes-kes di Mahkamah Syriah tidak perlu dibicarakan di mahkamah sivil dan begitu juga sebaliknya. Akan timbul banyak kekeliruan apabila pemisahan itu dihapuskan," katanya.

Bagaimanapun bekas hakim itu berpendapat Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda bagi membolehkan sebuah Mahkamah Agung Perlembagaan ditubuhkan bagi mendengar kes-kes yang dipertikaikan itu.

"Mahkamah ini akan memutuskan samaada kes-kes yang dibawa kepada mereka perlu didengar di mahkamah sivil atau syriah. Mahkamah seperti ini dipanggil "Tamyiz" dalam bahasa Arab. Ia ada di negara-negara Timur Tengah dan Eropah,"jelasnya.

Isu bidang kuasa antara mahkamah sivil dan mahkamah syriah ini timbul berikutan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Md Raus Sharif menolak permohonan balu wira Everest, M.Moorthy, S. Kaliammal untuk mengumumkan suaminya itu adalah penganut Hindu dan perlu dikebumikan secara adat Hindu.

Md Raus ketika menolak permohonan Kaliammal itu menjelaskan, mahkamah sivil tidak boleh mendengar kes yang telah diputuskan oleh Mahkamah Syriah.

Sheikh Azmi berkata, syor menubuhkan mahkamah agung seperti itu bukan perkara baru kerana pakar-pakar undang-undang sivil dan syriah pernah membincangkan cadangan itu sebelum ini.

" Bagaimanapun penubuhan mahkamah seperti itu hanya boleh dilakukan jika pihak perundangan negara ini bertindak pro-aktif kerana ia melibatkan pindaan perlembagaan,"katanya.

Bekas mufti Pulau Pinang itu mendakwa salah satu kes yang diadilinya dulu telah membawa kepada pindaan Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan artikel 121 (1A) itu.

Murtad dan Qadiani

"Saya telah mengadili kes "Cikgu Abdul Rahim" yang mendakwa dia tidak boleh didakwa di Mahkamah Syriah kerana dia bukan orang Islam sebab menganut ajaran Qadiani," katanya.

Ajaran Qaidani telah diputuskan sebagai satu ajaran sesat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

"Saya telah membuat keputusan bahawa Mahkamah Syriah mempunyai bidang kuasa untuk mengadili kes Cikgu Rahim kerana fatwa yang dibuat oleh Majlis Fatwa itu tidak secara automatik mengatakan dia telah murtad."

"Cikgu Rahim telah membawa kesnya ke Mahkamah Tinggi sivil yang akhirnya memutuskan dia bukan penganut Islam dan dengan itu tidak boleh didakwa di bawah Mahkamah Syriah," jelasnya.

Berikutan penghakiman tersebut katanya, Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk memasukan artikel 121(1)(A) yang memperuntukkan mahkmah sivil tidak berhak membicarakan kes yang telah diputuskan di mahkamah syriah.

Seorang peguam syarie, Yusmadi Yusof juga sependapat dengan Sheikh Azmi. Peguam itu berkata kerajaan patut secara serius menimbangkan untuk menubuhkan Mahkamah Agung Perlembagaan bagi membolehkan sebarang pertikaian antara agama diselesaikan secara sistematik

Katanya, mahkamah agung itu perlu dianggotai oleh hakim-hakim sivil dan syriah yang terbaik serta pakar undang-undang terkemuka bagi memastikan keputusan yang dibuat mempunyai kredibiliti.

"Kita telah saksikan sebelum ini beberapa beberapa hakim sivil seperti Harun Hashim, Prof Ahmad Ibrahim dan Syed Agil al-Barakbah membuat penghakiman yang baik apabila dijemput menjadi panel Mahkamah Rayuan Syriah. Saya percaya perkara ini boleh dilakukan," katanya.

Sementara menunggu sebuah Mahkamah Agung Perlembagaan ditubuhkan, Sheikh Azmi pula berkata, orang bukan Islam tidak harus mengelak mencari keadilan di Mahkamah Syriah.

"Mereka boleh mendapat peguam syarie untuk mewakili mereka di Mahkamah Syariah."

"Jika tidak dapat mencari seorang peguam syarie yang sesuai untuk mewakili mereka, orang bukan Islam itu boleh mewakili dirinya sendiri," tambah beliau.