Bursa berada di paras bawah nilai, kata Nazir Razak
Pasaran saham tempatan berada di paras bawah nilai berdasarkan kepada harga dagangan berbanding nisbah pendapatan dan pulangan dividen pasaran, kata ketua eksekutif kumpulan CIMB Bhd, Datuk Nazir Razak.
Pasaran saham tempatan berada di paras bawah nilai berdasarkan kepada harga dagangan berbanding nisbah pendapatan dan pulangan dividen pasaran, kata ketua eksekutif kumpulan CIMB Bhd, Datuk Nazir Razak.
Beliau berkata, pihak berkuasa dan peserta pasaran perlu mengkaji mengapa saham pasaran berada di paras bawah nilai dan apakah punca-puncanya.
Beliau berkata demikian semasa ditanya mengenai laporan berita yang mengatakan bahawa bursa tempatan dianggap satu daripada pasaran yang mencatatkan prestasi buruk di dunia pada 2005.
Indeks Komposit ditutup pada akhir 2005 pada 899.79 mata, turun 0.84 peratus daripada parasnya pada akhir 2004.
Menurut laporan Bernama, beliau berkata, terdapat kemungkinan beberapa isu struktur yang menjadi penyebab kepada keadaan itu.
Nazir ditemui pemberita selepas majlis permeterian penajaan antara CIMB dengan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) dan Nicol David di Kuala Lumpur hari ini.
Paras kecairan
"Jika anda lihat pada paras kecairan dalam pasaran tempatan ianya amat rendah. Pihak berkuasa dan peserta pasaran perlu berbincang dan memikirkan apakah yang menyebabkan paras kecairan yang sangat rendah dan kemudiannya harga yang dibawah nilai sebenar dalam pasaran saham," katanya.
Apabila diminta memberi cadangan untuk menambahbaik kecairan, beliau berkata, dagangan "intraday" (dagangan jangka pendek dengan penghantaran saham pada hari yang sama) adalah satu langkah yang positif.
"Terdapat pelbagai inisiatif yang ketika ini sedang ditimbang oleh pihak berkuasa. Mereka membincangkan untuk memperkenalkan dagangan "intraday"," katanya.
Beliau menyebut satu contoh, CIMB-GK di Singapura yang memperoleh banyak pendapatan dalam dagangan "intraday" kerana katannya, "ia membantu kecairan pasaran saham".
Beliau juga bersetuju dengan langkah Bursa Malaysia untuk memperkenalkan dagangan "intraday" tidak lama lagi.
Semasa ditanya mengenai laporan bahawa CIMB dan Southern Bank Bhd (SBB) masih sedang membincangkan kemungkinan penggabungan dengan tumpuan kini kepada penetapan harga, Nazir menjawab "saya tidak mahu komen perkara itu. Rundingan atau tiada rundingan, itu hanya spekulasi media".
Menurut laporan itu, kedua-dua bank tersebut telah bertemu minggu lalu dan dijangka meneruskan perbincangan minggu ini.
Tawaran awam
Mengenai prospek pengendalian tawaran awam permulaan (IPO) dan bon tahun ini, Nazir berkata "tahun ini dijangka satu tahun yang baik."
Menurut satu laporan, CIMB telah membawa ke dalam pasaran bon Islam sahaja nilai bersamaan AS$1.23 bilion dalam 47 terbitan denominasi ringgit yang memberikannya 25 peratus bahagian pasaran tahun lalu.
Bank pelaburan itu merupakan pengurus paling aktif niaga janji bon Islam di Asia tidak termasuk Jepun, kata laporan itu.
Mengenai permeterian penajaan itu, Nazir berkata CIMB mahu mengaitkan bank tersebut dengan Nicol David -- juara dunia dan pemain skuasy nombor satu dunia -- yang menjadi lambang budaya prestasi tinggi.
"Kami akan menggunakan penajaan kami bersama beliau bagi membantu menjenamakan semula Bumiputra Commerce Bank (BCB) kelak," katanya.
Beliau berkata proses penggabungan antara CIMB dengan BCB, pemberi pinjaman kedua terbesar dari segi aset itu, dijadual selesai pada suku pertama tahun ini.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.