Jawi dakwa Kagat lewat maklum pengislaman Moorthy
Pegawai dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa menziarah M Moorthy sebaik sahaja dimaklumkan oleh Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) pada bulan Mei lalu mengenai pengislaman anggota komando tersebut.
Pegawai dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa menziarah M Moorthy sebaik sahaja dimaklumkan oleh Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) pada bulan Mei lalu mengenai pengislaman anggota komando tersebut.
Pengarahnya, Che Mat Che Ali menjelaskan bahawa Jawi tidak tahu yang Moorthy telah memeluk Islam sehinggalah dimaklumkan oleh Kagat. Moorthy dilaporkan memeluk Islam pada 10 November 2004.
Ditanya mengapa pihaknya lewat dimaklum mengenai perkara itu, beliau berkata, Kagat lambat berbuat demikian kerana Moorthy adalah kakitangan Kementerian Pertahanan.
"Kagat juga yang menguruskan kemasukan Islam Moorthy dan mendaftarkan pengislamannya dengan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) dan bukannya dengan Jawi.
"Kes seperti ini banyak berlaku dan Jawi tidak dapat mengesannya. Pada masa depan kami meminta mereka yang memeluk Islam supaya mendaftarkan nama mereka dengan Jawi," katanya kepada malaysiakini .
Katanya, kebajikan Moorthy adalah di bawah tanggungjawab Kementerian Pertahanan termasuk urusan agama melalui Kagat.
Bagaimanapun, katanya sebaik diberitahu mengenai pengislaman Moorthy, pegawai Jawi melawat allahyarham setiap hari di rumahnya dan ketika dia berada di hospital.
"Kami tidak melawat beliau sebelum ini kerana tidak diberitahu bahawa Moorthy memeluk Islam pada November 2004," katanya ketika ditemui di ibu negara hari ini.
Bagaimanapun, katanya, tanggungjawab utama ke atas Moorthy terletak di bahu Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) Angkatan Tentera Malaysia.
Lawat Moorthy
Che Mat berkata demikian sebagai mengulas dakwaan beberapa pihak yang mendakwa bahawa Jawi tidak pernah melawat Moorthy semasa beliau lumpuh sejak tahun 1998.
Katanya, keluarga Moorthy termasuk isterinya S. Kaliammal memang tahu pegawai Jawi melawat Moorthy di rumahnya di Desa Tun Hussein Onn di ibu negara.
"Pegawai Jawi juga melawat Moorthy ketika belau koma di Hospital Kuala Lumpur," katanya lagi.
Ditanya mengapa Jawi tidak mengeluarkan dokumen mengenai pengislaman Moorthy ketika perbicaraan di mahkamah tinggi baru-baru ini, Che Mat berkata, ia tidak diminta oleh pihak mahkamah.
Katanya, pihaknya mempunyai semua dokumen mengenai pengislaman Moorthy.
"Jika tidak ada dokumen sudah tentu Jawi tidak berani membawa kes itu ke mahkamah," katanya.
Che Mat juga meminta semua pihak supaya menghormati keputusan Mahkamah Syariah yang mengesahkan bahawa Moorthy adalah seorang Islam.
Kaliammal kemudiannya membawa kes itu ke mahkamah tinggi tetapi Hakim Datuk Mohd Raus Sharif memutuskan mahkamah tinggi tidak mempunyai kuasa untuk mendengar kes itu.
Berikutan itu, peguam Kaliamal telah memfailkan kes rayuan kepada di Mahkamah Rayuan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.