Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) mendesak pihak kerajaan mengkaji semula kuota menteri daripada kaum India dalam kabinet Pakatan Harapan (PH).

Presiden Perkasa Ibrahim Ali berkata pada ketika ini ada empat menteri dan satu timbalan menteri daripada kaum India dan ia boleh dianggap "terlalu ramai" berbanding komposisi mereka di negara ini.

"Sekarang ni ada empat menteri dan satu timbalan menteri (kaum India), jadi lima (semuanya). [...] Penduduk kaum India hanya tujuh peratus sahaja, takkanlah sampai empat menteri?

“[...] Ramai lagi pemimpin Melayu yang ada dalam gabungan PH, kenapa tak boleh lantik mereka ini?” soalnya di hadapan kira-kira 200 penyokong Perkasa di himpunan Jihad Perkasa di depan Hotel Regency, Kampung Baru, Kuala Lumpur hari ini.

Lima ahli kabinet berbangsa India yang dimaksudkan Ibrahim dipercayai merujuk kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waythamoorthy; Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A Xavier Jayakumar; Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo; Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran, dan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R Sivarasa.

Seperti diumumkan kerajaan pada Mei lalu, pembahagian portfolio di dalam kabinet bukanlah ditentukan mengikut peratusan kaum di negara ini, tetapi mengikut formula 3-3-2-2 di kalangan empat parti komponen PH.

Kedudukan terbaru kabinet PH ialah tujuh daripada PKR, masing-masing enam DAP dan Bersatu, diikuti lima Amanah, tiga Warisan (3) dan satu Hindraf.

Desakan Ibrahim itu diucapkan sejurus selepas beliau mendesak agar Wahthamoorthy dipecat daripada jawatannya.

“Waythamoorthy telah buat kenyataan peristiwa rusuhan kuil (Sri Maha Mariamman) dalam tempoh tak sampai sejam, tuduh polis (tiba lambat).

“Saya percaya tuduhan inilah yang mempengaruhi parti-parti politik India yang rasis menyerahkan surat terbuka kepada konsulat Malaysia di India dengan macam-macam tuduhan, kononnya ada kanak-kanak kena sembelih, ada orang kena bunuh. Ini mencemar nama negara.

“Kalau betul Dr Mahathir Mohamad betul-betul tegas macam saya kenal dia semasa menjadi perdana menteri keempat, saya nak tengok berapa lama Dr Mahathir nak simpan Waythamoorthy. [...] Waythamoorthy mesti dipecat!” katanya lagi.