Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Polis akan menyiasat Presiden Perkasa Ibrahim Ali berhubung ucapannya yang berkata "Perkasa akan mengamuk" yang diucapkan dalam Himpunan Jihad Perkasa di Kuala Lumpur hari ini.

Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin berkata, polis akan mengambil tindakan sekiranya ucapan itu didapati cuba mencetuskan ketegangan.

“Saya serahkan kepada polis untuk melihat apa sahaja kenyataan yang dibuat oleh Ibrahim atau sesiapa sahaja di dalam Perkasa dan polis akan menyiasat kenyataan yang dibuat mereka,” katanya dalam sidang media di Kuil Sri Maha Mariamman, di Subang Jaya hari ini.

Menurut Muhyiddin, Perkasa sebelum ini telah mengadakan perjumpaan dengan pihak berkuasa berhubung himpunan hari ini dan bersetuju untuk mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan.

“Walau apa pun, polis ada di sana untuk memantau dan sekarang, mereka diberi lampu hijau untuk melakukan apa yang perlu,” katanya. 

Kira-kira 200 menyertai perhimpunan anjuran Perkasa di Kuala Lumpur hari ini bagi menyatakan bantahan terhadap Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) serta mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waythamoorthy agar meletakkan jawatan. 

Perkasa turut memberi amaran terhadap pihak yang menurut mereka memperkotak-katikkan maruah orang Melayu.

Lihat Komen
ADS