Terjemahan Seorang anggota polis wanita didakwa meraba punggung anak perempuannya di khalayak ramai. Dan apabila Wan Nurizan Shaikh Mohammad mahu anggota polis tersebut meminta maaf, dia dan anaknya sebaliknya ditangkap dan ditahan di lokap.

Ibu tunggal berusia 48 tahun ini dan dua anak perempuannya yang berusia 20 dan 15 tahun dan masih menuntut, turut dicemuh kerana 'berpakaian seperti pelacur' dan ditahan selama 24 jam.

Ketika menceritakan pengalaman yang dilaluinya itu dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini, Wan Nurizan berkata, seorang anggota polis berpakaian biasa, yang mungkin menyangka mereka rakyat asing, meminta kad pengenalan mereka, di sebuah gerak di Jalan Petaling, Kuala Lumpur pada kira-kira jam 9.30 malam 23 Disember yang lalu.

Ketika itu, kata Wan Nurizan, tiga anggota polis wanita berpakaian biasa muncul dan seorang daripada mereka meraba punggung anak perempuan besarnya, Farina Hidayuh Shuib.

"Saya bertanya mengapa dia berbuat demikian. Katanya, dia seorang polis dan perlu membuat pemeriksaan. Saya tanya lagi mengapa tidak membuat pemeriksaan di tempat lain, dan bukannya di tempat awam," kata Wan Nurizan, yang bertugas sebagai seorang setiausaha di sebuah firma guaman.

Katanya, anggota polis wanita tersebut kemudiannya memeriksa beg tangan mereka dan anggota polis yang sama yang meraba anaknya itu, turut mencemuh pakaian mereka. Ketiga anak beranak itu memakai pakaian yang sama ketika menghadiri sidang akhbar hari ini.

'Tiga wanita samseng'

Apabila Wan Nurizan menuntut mereka supaya memohon maaf, seorang pegawai polis lelaki mengambil keputusan untuk menahan mereka. Tangan mereka dipulas ke belakang ketika dibawa menaik trak polis.

"Kami menjerit kesakitan. Tangan kami teruk lembab," kata ibu tunggal itu.

Penahanan mereka itu dikatakan turut disiarkan dalam program berita NTV7 pada 24 Disember di mana seorang pegawai polis menyifatkan mereka sebagai 'tiga wanita samseng'. Selepas ditahan, mereka dibawa ke ibu pejabat polis Kuala Lumpur untuk melakukan ujian air kencing.

Di sana mereka dicemuh lagi. Wan Nurizan mendakwa, seorang anggota polis wanita berkata pelacur yang ditahan polis biasanya berpakaian seperti mereka.

Wan Nurizan dan Farina (kanan sekali) kemudiannya ditahan di lokap selama lima jam manakala anak perempuan bungsunya ditahan dalam sebuah pejabat di balai polis Jalan Travers kerana masih di bawah umur. Mereka dibebaskan pada jam 9.30 pagi pada hari berikutnya.

Semalam, Wan Nurizan dihadapkan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur kerana "pelakuan tidak senonoh" mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil. Jika didapati bersalah, dia boleh dikenakan denda maksimum RM10,000.

Mareh dengan apa yang telah berlaku, Wan Nurizan bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap semua yang terbabit, termasuk NTV7 kerana fitnah.

"Adakah saya perlu memakai tudung supaya tidak dipanggil pelacur? Mereka adalah anak perempuan saya dan dipanggil pelacur, bagaimanakah perasaan saya? Adalah hak kami untuk berpakaian sedemikian," kata Wan Nurizan sambil menitis airmata.

Tindakan undang-undang

"Saya hanyalah seorang ibu tunggal tanpa ada orang yang membantu kami (pada masa itu). Jika kami diperlakukan sedemikian oleh pihak polis, kepada siapakah hendak kami mengadu?" soalnya.

Hadir sama di sidang akhbar tersebut anjuran DAP itu ialah Ahli Parlimen DAP Teresa Kok dan Peguam Sankara Nair.

Nair memberitahu pemberita bahawa pihak polis boleh mengeluarkan saman bagi kesalahan yang didakwa dilakukan oleh Wan Nurizan dan tidak perlu menahan mereka.

"Beliau kini mesti mendapatkan keadilan undang-undang kerana beliau tidak sewajarnya diperlakukan sedemikian," kata Niar yang juga bekas seorang anggota polis.

Beliau juga mempersoalkan mengapa Farina dan adiknya ditahan sedangkan mereka tidak melakukan sebarang kesalahan.

Sementara itu, Kok pula mempersoalkan profesionalisme anggota polis yang terbabit dalam kejadian tersebut.

"Anggota polis yang memeriksa Farina berpakaian biasa. Apa rasanya jika orang yang tidak dikenali tiba-tiba meraba punggung anda? Tidakkah itu satu gangguan seksual?" katanya.