Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan menyiasat Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pengangkutan kerana didapati isu-isu punitif.

Ini didedahkan oleh Ketua Audit Negara, Madinah Mohamad yang menjelaskan bahawa isu tersebut merupakan perkara yang terdapat Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2017 Siri 2 yang dirasmikan hari ini.

Namun, menurut Madinah, ini tidak bermakna, hukuman akan terus dijalankan kerana isu-isu itu perlu menjalani siasatan lanjut.

"Bila saya kata punitif, itu bukan bermaksud kesalahan itu telah dibuktikan tapi perlu ada siasatan lanjut oleh pihak-pihak berkaitan.

"Jika ia melibatkan kecuaian penjawat awam maka siasatan akan dijalankan oleh jabatan perkhidmatan awam. Kalau melibatkan pihak ketiga seperti kontroktar, konsultan ia juga akan disiasat oleh CIDB (Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia)dan pihak-pihak berkuasa," katanya pada sidang media hari ini.

Hadir sama adalah Pengerusi PAC Ronald Kiandee yang bagaimanapun, tidak menjelaskan secara terperinci berhubung kes-kes yang dimaksudkan itu.

"Sebagai PAC, sudah tentu perkara yang ditekankan tadi kita akan siasat dalam PAC dan jawatankuasa akan berbincang," katanya.

Sementara itu, ahli Parlimen Beluran itu berkata bekas ketua audit negara Ambrin Buang berkata beliau akan memberi penjelasan penuh mengenai 1MDB kepada PAC dalam pertemuan mereka esok dan pada Rabu, Madinah akan dipanggil untuk menjadi saksi.

Pada masa sama, beliau juga menjangkakan cadangan-cadangan PAC berhubung laporan audit negara siri kedua itu akan dibawa ke sesi Parlimen akan datang.