Selepas PAS, kali ini Umno pula memberi jaminan himpunan yang asalnya dibuat untuk membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) pada Sabtu ini akan berjalan dengan aman.

Kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi himpunan tersebut - yang digerakkan oleh PAS serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan - akan berlangsung dalam suasana bebas daripada unsur perkauman dan isu sensitif.

Ketua Pembangkang itu sebaliknya berkata himpunan berkenaan hanya untuk menyatakan kesyukuran atas keputusan kerajaan pembatalan Icerd.

"Saya mewakili kawan-kawan dengan Umno dan PAS akan tetap pergi dan ini mesti dipisahkan daripada isu-isu perkauman.

"Dan pertemuan yang kita lakukan dalam bentuk himpunan itu untuk menyatakan penghargaan, kesyukuran dan terima kasih di atas keputusan yang telah dibuat oleh pihak kerajaan khususnya keputusan kabinet yang (dalam) kenyataan media menunjukkan bahawa kerajaan menolak Icerd untuk diratifikasikan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Umno Annuar Musa turut berharap supaya itu tidak dikaitkan dengan sebarang usaha menyemarakkan lagi isu perkauman.

Ia susulan rusuhan yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya pada awal minggu lalu.

Ahmad Zahid yang juga anggota parlimen Bagan Datuk turut memberi jaminan bahawa himpunan yang turut disertai bersama NGO itu akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Menurut beliau, himpunan yang telah mendapat kebenaran daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akan dipatuhi semua syarat-syaratnya.

"Banyak perkara telah dilakukan terutamanya kami akan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa," katanya mengulas mengenai usaha mengelak unsur sabotaj dalam himpunan tersebut.