Empat jemaah haji Malaysia yang dilaporkan hilang sebelum ini disahkan terkorban dalam kejadian hotel yang runtuh di Jalan Jundaria kawasan Al Ghazzah dekat Masjidil Haram di Mekah Khamis lalu.

Menurut Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Dr Azmi Ahmad, kesemua jemaah yang berasal dari Sabah itu dikenal pasti sebagai Norma Abu, 47, dari Kampung Sapagaya, Jalan Silam, Lahad Datu dan Simin Suliman, 64, dari Kampung Lohan 1, Peti Surat 467, Wakil Pos Ranau, Ranau.

Dua yang lain ialah pasangan suami isteri Panan Awang Saman, 65, dan isterinya Dayang Damit @ Sadiyah Ghani, 63, dari Kampung Pimping, Membakut.

"Mayat mereka dijumpai setelah kami melakukan pemeriksaan di rumah mayat, Mina Muaissim," katanya kepada media Malaysia di Mekah mengenai perkembangan terkini kejadian itu.

Menurut laporan Bernama , bliau berkata, mereka dikenal pasti melalui gelang tangan pengenalan yang dipakai oleh semua jemaah haji Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Operasi Perubatan Tabung Haji Dr Shuhaimi Ismail berkata, waris mereka sedang dihubungi oleh Konsulat Haji Malaysia Jeddah.

Katanya, usaha juga sedang dilakukan oleh Muasasah Asia Tenggara, yang turut bertanggungjawab terhadap jemaah Malaysia, untuk mengebumikan mayat mereka yang terkorban itu di tanah perkuburan Mina Muaissim, setelah waris masing-masing dimaklumkan.

Rawatan lanjut

Dua lagi jemaah haji dari Sabah -- Rusli binti Awang, 48, yang calar-calar di badan dan adiknya, Jamil, 42, yang patah kaki kanan dan luka di dagu -- dimasukkan ke Hospital King Faisal, selepas kejadian itu Khamis lalu.

Jamil bagaimanapun dipindahkan ke Hospital Tabung Haji di Syisyah untuk rawatan lanjut setelah keadaannya bertambah baik manakala Rusli dipulangkan ke tempat penginapannya di Maktab 84.

Seorang lagi jemaah, Saliam Sahid, 56, yang mengalami retak tulang punggung dan tulang pipi, masih dirawat di Hospital King Faisal.

Dr Shuhaimi berkata, keadaan Saliam stabil dan sudah boleh bercakap setelah menjalani pembedahan malam Jumaat lalu.

Kerajaan Arab Saudi mengumumkan bahawa 76 orang disahkan terkorban dalam kejadian pada 1 petang (6 petang waktu Malaysia) manakala 62 yang lain cedera.

Berita tentang kehilangan empat jemaah haji Malaysia dalam kejadian itu sebelum ini tidak diumumkan oleh Tabung Haji kerana percaya mereka berada di tempat lain dengan usaha dilakukan untuk mencari mereka.

Rumah mayat

Bagaimanapun, Tabung Haji terus ke rumah mayat di Mina Muaissim setelah dua jemaah lain yang dikatakan yang hilang tiba-tiba muncul di markas operasi Tabung Haji di Hotel Habibah di Mekah pada pagi Sabtu.

Kedua-dua jemaah wanita itu memberitahu mereka tidak dapat kembali ke maktab penginapan setelah pihak berkuasa Arab Saudi menutup jalan di kawasan itu untuk kerja pembersihan dan pencarian mayat.

Mereka kemudian terus kembali ke Masjidil Haram dan tidak berbuat apa-apa sebelum ditemui oleh pegawai Tabung Haji dan terus dibawa ke markas operasi Tabung Haji untuk membuat laporan.

Mereka juga berkata kemungkinan seorang rakan mereka terkorban kerana sama-sama berada di kawasan itu semasa kejadian selepas pulang daripada menunaikan sembahyang Zohor di Masjidil Haram.

Ketika itulah pegawai perubatan Tabung Haji pergi ke rumah mayat di Mina Muaissim untuk mencari kemungkinan jemaah Malaysia yang disenaraikan hilang itu turut terkorban.

PM ucap takziah

Sementara itu, di Putrajaya, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengucapkan takziah kepada keluarga empat jemaah haji Malaysia yang disahkan terkorban dalam kejadian tersebut.

Abdullah berkata, beliau sedih selepas mendapat berita mengenai kejadian yang menimpa empat jemaah dari Sabah itu.

"Kita berdoa kepada Allah supaya roh mereka dicucuri rahmat," katanya.

Komen Abdullah berhubung insiden itu disampaikan kepada Bernama melalui seorang jurucakap Pejabat Perdana Menteri malam ini.