Najib pun sokong himpunan Icerd
Najib Razak menggesa penyokongnya untuk hadir di himpunan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) pada Sabtu ini.
Malah bekas perdana menteri itu juga membayangkan bahawa perhimpunan tersebut wajar melakar sejarah sebagai pertemuan umat Islam dan Melayu yang berjaya.
"Ayuh, kita berhimpun pada 8 Disember ini.
"Berhimpunlah secara aman, berhemah namun terpahat sebagai satu perhimpunan ummah yang gemilang," katanya dalam catatan di media sosial pagi ini.
Himpunan berkenaan dianjurkan PAS bersama Umno serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan bagi membantah cadangan kerajaan menerima Icerd.
Bagaimanapun pada 23 Nov lalu Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengesahkan Putrajaya tidak akan meratifikasi Icerd kerana isu yang dinyatakan dalam konvensyen tersebut sudah termaktuk dalam perlembagaan negara.
Justeru penganjur kemudian mengubah himpunan menjadi majlis kesyukuran.
Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah antara pemimpin kanan parti itu yang menggesa orang ramai turun beramai-ramai menyertai himpunan tersebut.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada Najib akan muncul atau tidak pada Sabtu nanti.
Kata Najib himpunan tersebut wajar diberi sokongan padu untuk menunjukkan kesatuan penyokongnya dan penentangan terhadap cubaan mencabar perlembagaan.
"Saya harap perhimpunan aman ini bertunjangkan kepada keharmonian dan aman serta sentiasa patuh kepada undang-undang.
"Usahlah kita terikut perasaan dalam kita memperdengarkan suara kita.
"Tunjukkan kepada mereka, kita adalah kumpulan berhemah dan kukuh dalam menyatakan kesatuan kita," katanya lagi.





