Empat lelaki termasuk seorang pegawai pengawal keselamatan One City Development Sdn Bhd (One City) mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan merusuh dengan menggunakan senjata berbahaya dalam insiden kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, Selangor pada 23 November lalu.

Mereka didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini.

Empat tertuduh itu ialah Pegawai keselamatan One City Development Sdn Bhd, Irwan Nordin, 38; Muhammad Ridzuan Sekh Ruslan, 26; Mohd Khairi Abd Rashid, 24, dan Rozaihan Jamaludin, 38, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham.

Mengikut pertuduhan, semua mereka didakwa bersama-sama dengan beberapa orang lagi yang masih bebas didapati berada dalam rusuhan dan semasa rusuhan itu.

Mereka didakwa memiliki parang, kapak, pisau dan kayu yang boleh digunakan sebagai senjata untuk menyerang dalam insiden rusuhan itu.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di di kuil berkenaan, di USJ 25, Seafield, antara pukul 2 pagi dan 5 pagi, 26 November lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mahkamah membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

17 Januari 2019 ditetapkan untuk sebutan semula kes.

Difahamkan seorang lagi individu yang sepatutnya dituduh mengikut seksyen sama kini berada di hospital.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Salim Soib @ Hamid yang mengetuai barisan pendakwaan menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri ke balai polis sebulan sekali serta pasport diserahkan kepada mahkamah.

Dalam prosiding itu, hanya Irwan yang diwakili peguam Mohd Rafique Rashid Ali manakala yang lain tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berhampiran dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Insiden terbabit berlaku pada awal pagi Isnin lalu dipercayai berpunca akibat perbalahan mengenai isu pemindahan kuil itu ke tapak baru.

Kejadian itu yang berlanjutan sehingga awal pagi Selasa mengakibatkan seorang anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, cedera parah dan kini dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).

Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun hari ini memaklumkan yang pihak polis sudah menahan 83 individu bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Sementara itu, seorang lelaki, T Thinekaran, 34, mengaku tidak bersalah atas tuduhan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang individu, K Tanggeswaran, 25, dengan cara menumbuk mangsa di bahagian kening sebelah kiri di tepi jalan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), USJ, di Subang Jaya, jam  4.30 petang, tarikh sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Dalam perbicaraan sama, dua lagi tertuduh Mohd Shamis Samsuri dan R Pavethren mengaku bersalah terhadap pertuduhan masing-masing.

Mohd Shamis didakwa mengikut Seksyen 151 Kanun Keseksaan (Perhimpunan Haram) kerana menyertai perhimpunan haram di hadapan kuil berkenaan pada 28 Nov lalu dihukum dua bulan penjara.

Manakala Pavethren pula berdepan dua pertuduhan dibawah Seksyen 79 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mengabaikan perintah anggota polis dan peraturan 7 (1A) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana gagal mengemukakan kad pengenalan diri.

Pavethren didakwa melakukan kesalahan itu pada 28 Nov dan dikenakan denda RM5,000 bagi kedua-dua kesalahan itu.