Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Ronald Kiandee berkata bekas ketua audit negara Ambrin Buang memberikan kerjasama yang baik ketika hadir memberi keterangan berhubung siasatan laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Dia (Ambrin) memberikan kerjasama yang baik dan banyak keterangan yang akan membantu PAC.

"Ia membincangkan mengenai isu berkaitan laporan audit yang diubah," katanya kepada pemberita di bangunan parlimen hari ini.

Ronald yang merupakan anggota parlimen Beluran bagaimanapun berkata, pihaknya tidak dapat memberikan butiran terperinci mengenai siasatan tersebut memandangkan ia masih belum selesai.

Pada 25 November lalu, Ketua Audit Negara Madinah Mohamad mendedahkan bahawa beberapa bahagian dalam laporan audit asal 1MDB  dikeluarkan atas arahan bekas perdana menteri Najib Razak.

Madinah turut mendedahkan setiausaha sulit Najib, Shukry Mohd Salleh turut mengarahkan bahagian yang menyebut tentang kehadiran ahli perniagaan Low Taek Jho pada mesyuarat lembaga pengarah 1MDB dalam laporan itu dikeluarkan.

Sementara itu, Ronald berkata pihaknya kini masih memeriksa sama ada laporan audit itu diubah seperti dakwaan Madinah.

"Kita sedang buat siasatan, periksa sama ada (laporan itu) diubah atau tidak diubah. Kita ahli PAC ramai peguam, maka menariklah," katanya.

Proses mengambil keterangan Ambrin akan disambung semula pada jam 2.30 petang.

Ambrin yang dilihat keluar daripada bilik PAC sempat melambai kepada wartawan apabila mereka cuba mendapatkan respons daripadanya.

Esok, PAC akan memanggil Madinah dan bekas pengarah Sektor Audit Kerajaan Saadatul Nafisah bagi siasatan sama.

Lihat Komen
ADS