Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Himpunan Icerd: PAS minta polis ambil gambar pencetus provokasi

Polis perlu mengambil gambar pihak yang mencetuskan provokasi ketika himpunan anti-Icerd Sabtu ini dan mengambil tindakan segera terhadap mereka, kata Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.

"Kita harap tiada pihak yang cetuskan suasana tidak baik.

"Kita beritahu polis (agar) rakam gambar terhadap sebarang provokasi, dan minta polis ambil tindakan segera," katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.

Beliau mengulas soal keselamatan berkenaan himpunan itu. Bermula sebagai himpunan bantahan, ia ditukar sebagai acara kesyukuran apabila kerajaan memutuskan tidak akan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) PBB itu.

Beliau berkata PAS akan mengerahkan kira-kira 1,000 anggota Unit Amal untuk mengawal keselamatan dalam himpunan itu nanti.

Umno pula menyatakan komitmen untuk menurunkan 3,000 anggota sayap pemudanya untuk tujuan sama.

Himpunan anjuran beberapa NGO dan disokong Umno dan PAS itu mendapat lampu hijau polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur semalam.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata pihaknya membenarkan Jalan Raja - iaitu depan Bangunan Sultan Abdul Samad - dan Dataran Merdeka digunakan bermula pukul dua hingga enam petang, untuk himpunan itu.

Lihat Komen
ADS