Salahguna kad SIM: Gabenor Narathiwat minta kerjasama Msia
Gabenor Narathiwat Pracha Taerat, yang mengarahkan semua kedai menghentikan penjualan telefon bimbit dan kad SIM yang dikeluarkan di Malaysia lebih sebulan lalu, mahu kerajaan Thailand mendapatkan kerjasama Malaysia bagi mengawal penggunaannya di wilayah selatan.
Gabenor Narathiwat Pracha Taerat, yang mengarahkan semua kedai menghentikan penjualan telefon bimbit dan kad SIM yang dikeluarkan di Malaysia lebih sebulan lalu, mahu kerajaan Thailand mendapatkan kerjasama Malaysia bagi mengawal penggunaannya di wilayah selatan.
Pracha memberitahu media tempatan bahawa pendaftaran dan penggunaan telefon bimbit dari Malaysia perlu dikawal selepas satu kad SIM sebuah negara jiran digunakan untuk meletupkan bom di Narathiwat pagi kelmarin.
Beliau berkata, pemberontak, yang sebelum ini menggunakan talian telefon Thailand untuk meletupkan bom, tidak lagi dapat berbuat demikian selepas kerajaan mengarahkan semua pengguna telefon prabayar mendaftar tahun lalu untuk menggunakannya di Yala, Pattani dan Narathiwat.
Bagaimanapun, Pracha berkata, puak militan beralih kepada kad SIM dari Malaysia memandangkan isyarat daripada syarikat telefon Malaysia boleh diakses kira-kira satu kilometer di sepanjang sempadan.
Menurut laporan Bernama, kelmarin, tiga orang, termasuk seorang rakyat Malaysia, cedera setelah pemberontak meletupkan bom di kedai teh di Sungai Golok menggunakan kad SIM dari Malaysia.
Pada 29 November lalu, Pracha mengarahkan supaya penjualan telefon bimbit dan kad SIM dari Malaysia diharamkan selepas siasatan mendapati serangan bom pada 20 November lalu di wilayah itu yang mencederakan ramai orang, diletupkan dengan menggunakan telefon bimbit dan kad SIM yang dikeluarkan di Malaysia.
Lebih 1,200 orang meninggal dunia di wilayah selatan sejak puak pemisah Islam meningkatkan kempen ke arah sebuah negeri yang merdeka dengan melakukan serangan terhadap sebuah kem tentera pada Januari, 2004.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.