Seorang pelajar menerima 15 jahitan di lutut kiri dan belakang betisnya akibat diserang dan digigit anjing jirannya, berhampiran rumahnya di Taman Keladi di Kulim, Kedah kelmarin.

S.Kumaran, 11, pelajar tahun lima di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Tamil) Kulim berkata, ketika kejadian kira-kira jam 5 petang kelmarin, dia ke rumah jirannya, pemilik anjing jenis Rotweiller.

Menurut laporan Bernama, pelajar itu mendakwa, jirannya itu menanyakan sama dia dan kawannya ada membaling anjing tersebut. Kumaran menafi melakukan perbuatan itu.

Semasa di rumah itu, katanya, seorang pembantu rumah telah membuka pintu untuk membuang sampah. Tiba-tiba keluar dua ekor anjing dan terus menyerangnya.

"Saya terjatuh dan seekor daripada anjing tersebut menggigit lulut dan bahagian betis kiri saya hingga berdarah," katanya semalam.

Seorang jiran L.Thiagarajan, 41, yang menyaksikan kejadian itu berkata, beliau bergegas ke tempat kejadian dan membawa pelajar itu keluar dari rumah berkenaan dan menghantarnya ke Hospital Kulim.

Thiagaran berkata, beliau telah membuat laporan di Balai Polis Kulim.