Terjemahan Kerajaan tidak akan campurtangan dalam sebarang keputusan yang dibuat oleh pihak pengurusan Penerbangan Malaysia (MAS), kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berikutan laporan mengenai kemungkinan MAS akan menjual bangunan ibupejabatnya.

"Penerbangan Malaysia mempunyai lembaga pengarah dan pihak pengurusannya sendiri dan mereka boleh memutuskannya," katanya dalam laporan akhbar New Sunday Times (NST).

Akhbar itu melaporkan, syarikat penerbangan yang menanggung kerugian itu akan berpindah daripada bangunan 35 tingkat itu, dan ini menguatkan lagi spekulasi yang ibupejabat MAS itu akan dijual.

Laporan itu juga menyebut, satu memo yang dikeluarkan oleh Pengarauh Urusan yang baru, Idris Jala berkata, perpindahan itu bertujuan untuk mengurangkan "kos pengurusan" dan "menyelaraskan operasi.

Akhbar itu juga menyebut, Idris mahu syarikat penerbangan itu menumpukan operasinya di dua pusat utama di Subang yang terletak di barat bandaraya Kuala Lumpur dan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang.

Idris dijangka memberi taklimat kepada pegawai kanan MAS Rabu ini mengenai rancangan pemulihan syarikat penerbangan tersebut, sebelum dikemukakan kepada pihak kerajaan hujung bulan ini.

Sementara itu, akhbar itu juga memetik sumber sebagai berkata, Idris juga dijangka memberi butir-butir mengenai langkah-langkah penjimatan apabila tindakan pengurangan kos itu dilaksanakan.

Katanya, sebahagian besar kakitangan MAS yang ditempatkan di bangunan ibupejabatnya itu akan dipindahkan ke Subang, tetapi bahagian penjualan tiket dan perkhidmatan yang berkaitan dengannya, akan kekal di Kuala Lumpur.

Tiada lagi langkah menyelamat

Kakitangan Penerbangan Malaysia akan dipindahkan dalam dua fasa fasa pertama mulai bulan ini hingga Mac, dan fasa kedua Jun depan.

Bulan lalu, syarikat penerbangan itu menjadi sasaran kritikan para senator apabila ia bercadang menjual bangunan ibupejabatnya itu untuk mendapat dana dan mengurang kerugiannya.

Tahun 2005 menyaksikan MAS kerugian dalam dua suku tahun berturut-turut dan syarikat itu menghadapi desakan supaya mengurangkan perbelanjaan dan merangka pelan menangani kenaikan harga bahan bakar.

Bulan lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan sedia memberi pinjaman kepada MAS untuk membantunya kembali mencatat keuntungan, tetapi menolak sebarang langkah menyelamatkan syarikat penerbangan itu.

Kerajaan mempunyai sekurang-kurangnya 69.3 peratus pegangan dalam syarikat penerbangan tersebut melalui syarikat pelaburannya Khazanah Nasional. Kerajaan pernah menyelamatkan MAS sebelum ini.

Pada tahun 2001, berikutan dakwaan salah-pengurusan, kerajaan membeli pegangan pengerusi syarikta penerbangan tersebut ketika itu, Tan Sri Tajudin Ramli pada harga dua kali lebih tinggi daripada harga pasaran dan diikuti dengan langkah penstrukturan semula MAS. Berita asal