Terjemahan Bahagian kedua memoir bekas ketua pengarang akhbar Utusan Melayu, Said Zahari akan diterbitkan dalam Bahasa Malaysia, Cina dan Inggeris.

Dipercayai, buku tersebut akan dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Kuala Lumpur tidak lama lagi.

Bahagian pertama memoirnya yang bertajuk Dalam Ribuan Mimpi Gelisah: Memoir Said Zahari telah diterjemah ke dalam dua bahasa lagi pada tahun 2001, dengan terjemahan bahasa Inggerisnya bertajuk Dark Clouds at Dawn.

Said yang dilahirkan di Singapura dan kini berusia 77 tahun, adalah antara mereka yang paling lama ditahan oleh kerajaan Lee Kuan Yew. Pada 2 Februari 1962, beliau ditahan di bawah Ordinan Keselamatan Awam kerana dituduh menjadi anggota komunis dan ejen kerajaan Indonesia.

Bagaimanapun, sehinggalah dibebaskan pada bulan Ogos 1979, beliau tidak pernah didakwa di mahkamah terbuka. Badan pemantau hak asasi manusia, Amnesty International mengiktiraf beliau sebagai 'tahanan politik'.

Dalam memoir terbaru itu, Said akan secara rasmi memanggil Lee (foto) 'tali-barut Anglo-Amerika' dan menuduhnya bertindak untuk kepentingan politik dan ekonomi "neo-colonial" serta kepentingan strategik British dan Amerika Syarikat di Asia Tenggara sewaktu Perang Dingin.

Said juga akan menceritakan versinya mengenai sejarah perjuangan anti-penjajah di Singapura dan Semenanjung Malaysia serta rantau lain di Asia Tenggara, termasuk Sarawak, Brunei, Indonesia dan Vietnam.

Butir tahanan

Memoir setebal 265 muka surat itu mengandungi catatan kehidupan dan pengalamannya sewaktu berada dalam tahanan, termasuk disoalsiasat oleh Cawangan Khas dan ketika dalam tahanan seorang diri.

Beliau juga akan menceritakan mengenai seksaan fizikal dan psikologi ke atas rakan tahanannya yang lain seperti Lim Chin Siong, dan penyakit mental yang dialami oleh sesetengah tahanan lain akibat seksaan tersebut.

Ketika dalam tahanan, Said mempelajari bahasa Cina daripada rakan tahanan yang merupakan bekas pemimpin pelajar Nanyang Universiti.

Said juga akan menceritakan pertemuannya dengan beberapa pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) seperti Abdullah CD, Chin Peng, Rashid Maidin, Suriani Abdullah (Eng Ming Ching) and Abu Samah Mohamad Kassim di selatan Thailand untuk melakukan penyelidikan mengenai sejarah latarbelakang Malaya dan Singapura pada tahun 1950-an dan 1960-an.

Beliau juga akrab dengan Dr Alijah Gordon, seorang rakyat Amerika yang begitu bersimpati dan menyokong perjuangan pembebasan rakyat Palestin.

Mengenai perkembangan semasa di Malaysia, Said menyatakan simpati terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menggelarnya sebagai seorang 'pemimpin negara'.

Bagaimanapun, Said juga mengkritik sesetengah gaya kepimpinan politik Anwar selepas bekas timbalan perdana menteri itu dibebaskan dari penjara pada September lalu.

Said juga menggesa Mahathir dan Anwar supaya berbaik-baik semula, serta pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang membenarkan tahanan tanpa bicara.

Said dikenali kerana pembabitannya mengetuai mogok selama tiga bulan oleh para wartawan dan kakitangan Utusan Melayu di Kuala Lumpur pada 1961. Selaku ketua pengarang, beliau menentang pengambilanalihan akhbar itu oleh Umno.

Ketika melawat pejabat akhbar tersebut di Singapura, Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan Said sebagai persona non grata (orang tidak diingini) dan diharamkan pulang ke Malaya.

Arahan tersebut dibatalkan pada 26 Mei 1989 oleh Dr Mahathir dan berikutan itu keluarga Said berpindah ke Malaysia pada 1994.

Dua tahun kemudian, Said dilantik menjdi penulis tamu oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Pada 2003, beliau dilantik sebagai Penulis Residen di Buletin Malaysia penerbitan rasmi keselamatan negara di talian. Berita asal