Mahkamah Sesyen hari ini merekodkan pemindahan semua 17 pertuduhan pengubahan wang terhadap Rosmah Mansor, isteri bekas perdana menteri Najib Razak, ke Mahkamah Tinggi.

Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi mencatatkan pemindahan itu dan mengarahkan semua dokumen berkaitan dengan kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dan penyerahan dokumen yang berkaitan dilakukan di sana.

Rosmah hari ini diwakili oleh pasukan peguam yang diketuai oleh K Kumaraendran manakala Gopal Sri Ram bertindak sebagai pendakwa raya.

Tiada tarikh ditetapkan bagi kes yang akan disebut di Mahkamah Tinggi itu.

Pada 29 November lalu, adalah dilaporkan hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersetuju untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

Rosmah ditahan dan menghadapi 17 pertuduhan pengubahan wang haram pada 4 Okt.

Beliau menghadapi 12 pertuduhan kerana memasukkan RM7.1 juta ke akaun peribadinya dari tahun 2013 hingga 2017, dan lima lagi pertuduhan kerana tidak mengisytiharkan deposit dalam penyata cukai pendapatannya.

Semua pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Seksyen 4 (1) memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda sebanyak lima kali jumlah wang yang terlibat atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Bagaimanapun, bagi kesemua sembilan pertuduhan serta pertuduhan ke-13, kertas pertuduhan menyatakan bahawa Rosmah boleh didenda tidak lebih daripada RM5 juta, atau dipenjarakan sehingga lima tahun, atau kedua-duanya.

Isteri bekas perdana menteri itu memohon untuk dibicarakan berhubung semua tuduhan berkenaan.