Kira-kira 500 bekas anggota Parti Komunis Malaya (PKM) akan diberikan kewarganegaraan Thailand hampir dua dekad selepas mereka menamatkan perang gerila terhadap Malaysia.

Semalam, 253 bekas anggota PKM menerima kad pengenalan pintar Thailand yang dilengkapi dengan mikrocip daripada Gabenor Yala, Boonyasit Suwannarat.

Semasa dihubungi di bandar Betong, seorang pegawai di pejabat daerah Yala, berkata terdapat 498 anggota PKM yang menetap di beberapa kampung sekitar Yala.

Mereka menetap di situ selepas diberikan suaka oleh kerajaan Thailand, susulan kepada persetujuan untuk menamatkan perang gerila yang dimeterai antara PKM dan Kerajaan Malaysia pada 1989.

"Bakinya akan mendapat kad pengenalan mereka sebaik sahaja kita menyiapkan proses dokumentasi yang perlu. Kebanyakan mereka yang mendapat kad pengenalan semalam ialah orang Cina manakala orang Melayu akan mendapatnya secepat mungkin," katanya.

Bagaimanapun, pegawai itu tidak dapat mengesahkan sama ada bekas setiausaha agung PKM, Chin Peng merupakan seorang daripada mereka yang diberikan kewarganegaraan itu, menyatakan beliau perlu memeriksa senarai nama.

Menurut laporan Bernama, Sesetengah daripada bekas anggota PKM itu telah menggunakan nama Thai selepas mereka menetap di kampung muhibah Piyamit di daerah Betong dan daerah Bannang Sata.

Permohonan mahkamah

Tahun lalu, Chin Peng, 81, yang dilahirkan Sitiawan, Perak, mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi di Malaysia untuk dibenarkan kembali ke negara itu.

Bekas anggota terkemuka PKM yang lain yang dipercayai menetap di Betong, yang terletak berdekatan dengan Pengkalan Hulu di Perak ialah Rashid Maidin, Abdullah C.D and Suriani Abdullah.

Akhbar berbahasa Inggeris The Bangkok Post hari ini menyiarkan temu bual engan beberapa bekas anggota PKM yang diberikan kewarganegaraan semalam.

"Saya merasa yang diri saya orang Thai sejak pertama kali saya sampai untuk tinggal di kampung Piyamit di daerah Betong, Yala, hampir 20 tahun lepas kerana kami berlindung di bumi Thailand.

"Walaupun kami orang Malaya (Malaysia), apabila kami datang ke Thailand, kami menjadi orang Thai," kata Herng-u sae Loo, 50, yang pernah memimpin satu pasukan bekas anggota parti

komunis itu.

Seorang lagi bekas anggota, Yungfu Sae Shai, 78, yang pada kertas dokumennya dicatatkan sebagai bekas setiausaha agung parti komunis itu, berkata beliau bersedia membantu kerajaan mengendalikan keadaan huru-hara di selatan.

"Keadaan di selatan membimbangkan kami. Kami bersedia membantu dengan memantau pergerakan di sempadan dan menggalakkan keamanan di kampung," katanya.