Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penutupan anak syarikat, bukan operasi Amanah Ikhtiar Malaysia
Diterbitkan:  Dec 8, 2018 8:08 AM
Dikemaskini: 1:18 AM

 Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) tampil menjelaskan laporan media kelmarin berhubung kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin bahawa kerajaan akan menutup AIM.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah AIM Datuk Junaidah Kiting berkata sebaliknya apa yang ditegaskan Mohamed Hanipa dalam persidangan Dewan Rakyat itu adalah berkaitan penubuhan anak-anak syarikat AIM sahaja dan bukannya penutupan operasi secara keseluruhan.

Beliau berkata pihaknya memandang serius bahawa kerajaan akan memulakan prosedur pembatalan Sijil Pemerbadanan AIM kerana tidak memenuhi syarat-syarat Suratcara Ikatan Amanah khususnya dalam penubuhan anak-anak syarikat.

"AIM sentiasa terbuka serta memberikan kerjasama penuh kepada kerajaan untuk melaksanakan proses undang-undang sekiranya terdapat unsur-unsur meragukan dalam penubuhan anak-anak syarikat yang tidak mengikut syarat Surat Ikatan Amanah 26 April 2012 di bawah Klausa 3(C).

"Malah pengurusan baharu AIM ketika ini menegaskan tidak akan bertolak-ansur dengan mana-mana pihak sekiranya wujud amalan ketirisan, penyelewengan atau penyalahgunaan dana AIM yang berlaku semasa pentadbiran lalu," kata Junaidah dalam kenyataannya semalam.

Junaidah berkata AIM sedang menyiapkan laporan lengkap dan akan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut dalam tempoh terdekat supaya tindakan undang- undang dapat diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat.

AIM, katanya, juga akan mengemukakan laporan sama kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagi memastikan hala tuju AIM tidak tersasar daripada matlamat asalnya untuk membasmi kemiskinan menerusi kemudahan pembiayaan keusahawanan.

"AIM di bawah pengurusan baharu ketika ini sedang giat melaksanakan agenda utama membantu meningkatkan sosio-ekonomi rakyat miskin dan berpendapatan rendah menerusi program-program pembiayaan aktiviti meningkatkan pendapatan, keusahawanan, bimbingan dan latihan di seluruh negara," katanya.

Jelasnya sejak tahun 1996 hingga Jun 2018 sebanyak RM20.23 bilion jumlah kumulatif pembiayaan AIM telah dikeluarkan dan dana kerajaan telah berjaya dipusingkan semula kepada modal pembiayaan yang dikeluarkan sebanyak 16.87 kali.

"Pembiayaan itu telah melibatkan lebih kurang 377,000 peminjam yang juga dikenali sebagai 'Sahabat AIM'. Ini menunjukkan kejayaan AIM membantu kerajaan dalam memperkasa sosioekonomi isi rumah berpendapatan rendah serta mengurangkan kemiskinan," katanya.

-- Bernama

Lihat Komen
ADS