Syarikat pelaburan ECM Libra Bhd mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Naib Presiden PAS, Husam Musa dan lidah rasmi parti itu, Harakahdaily.com atas dakwaan memfitnah berhubung laporan mengenai pembelian saham syarikat itu bernilai RM9.2 juta oleh pengarahnya Khairy Jamaluddin.

Dalam surat tuntutan yang dihantar melalui firma guaman Bodipalar Ponnudural Nathan, menyebut, kenyataan Husam yang disiarkan dalam harakahdaily pada 29 Disember lalu, telah memfitnah syarikat itu.

Kenyataan Husam itu dilaporkan dalam satu artikel bahasa Malaysia bertajuk 'Bagaimana Khairy membeli saham ECM Libra?').

Dalam kenyataan itu, Husam juga menggesa kerajaan supaya menjelaskan pelaburan Khairy yang bernilai berjuta-juta ringgit itu. Beliau mahukan ketelusan kerana mendakwa ECM Libra mempunyai peranan utama dalam penjualan pegangan kerajaan dalam syarikat perkhidmatan kesihatan Pantai Holdings kepada syarikat Parkway Holdings dari Singapura.

Husam dipetik sebagai berkata sebagai menantu Perdana Menteri, harus menjelaskan kepada masyarakat bagaimana beliau memperolehi saham ECM Libra tersebut, seperti; sama ada melalui pinjaman bank atau melalui wang peribadi beliau sendiri atau melalui apa-apa komisyen, jika ada, dari ECM Libra di atas apa juga peranan beliau yang mungkin ada, dalam proses penjualan saham Pantai kepada Parkway.

Surat peguam bertarikh 8 Januari itu, mendakwa bahawa tuduhan dalam artikel tersebut yang merujuk kepada ECM Libra adalah tidak berasas, tidak benar, berunsur memfitnah serta mencemar reputasi syarikat berkenaan.

Menurut surat itu lagi, kenyataan Husam itu membawa maksud yang ECM Libra telah terbabit dalam penjualan saham Pantai kepada Parkway, dan pembelian tiga peratus saham dalam ECM Libra oleh Khairy adalah untuk mempermudahkan kelulusan penjualan (saham) Pantai oleh Kementerian Kewangan.

Memandangkan artikel tersebut disiarkan dalam versi internet akhbar rasmi PAS, maka surat tersebut berkata, sebahagian besar pengguna internet mungkin telah membaca artikel berkenaan. Malaysiakini turut memperolehi salinan surat tersebut.

Dalam keadaan tersebut, katanya, ECM Libra tiada pilihan kecuali mengambil tindakan saman fitnah terhadap Husam dan Harakahdaily bagi menyangkal tuduhan tersebut.

Surat tersebut turut mengandungi empat tuntutan membuat kenyataan bersama di mahkamah terbuka mengikut syarat-syarat yang ditetapkan; menyiarkan penarikan balik kenyataan itu dalam harakahdaily dan akhbar-akhbar utama yang lain; mencadangkan jumlah gantirugi; dan berhenti daripada membuat kenyataan yang serupa pada masa hadapan.

Husam mempunyai tiga hari untuk menjawabnya dari tarikh surat tersebut diterima.

Pengarang Harakahdaily, Zulkifli Sulong, ketika dihubungi hari ini, mengesahkan beliau telah menerima surat yang sama daripada ECM Libra.

'Tuntutan tidak releven'

Husam pula, ketika dihubungi petang ini berkata, tindakan ECM Libra itu tidak akan menghalangnya daripada mendedahkan semua urusniaga terbaru yang menjejaskan kepentingan negara. Beliau bagaimanapun, tidak menyatakan sama ada 'urusniaga' itu berkaitan dengan ECM Libra.

Husam berkata, beliau akan menjawab surat ECM Libra tetapi menyifatkan empat tuntutan tersebut sebagai "tidak releven fokus saya adalah terhadap pembabitan Khairy".

Pada 28 Disember lalu, Khairy yang juga Naib Ketua Pemuda Umno, dilaporkan telah membeli tiga peratus pegangan bernilai RM9.2 juta dalam ECM Libra, di mana beliau telah menjadi pengarahnya sejak bulan July 2004.

Menurut laporan itu, Khairy, 30, telah membeli 13 juta saham pada harga 71 sen sesaham dalam tiga urusniaga berasingan, daripada pengerusi syarikat tersebut, Datuk Kalimullah Masheerul Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif Lim Kian Onn dan Ketua Pegawai Operasi, Chua Ming Huat.

Pemimpin pembangkang termasuk Lim Kit Siang dari DAP dan Ezam Mohd Nor dari Parti Keadilan Rakyat, serta Husam, telah meminta Khairy menjelaskan perkara tersebut.

Bagaimanapun, Khairy belum memberi reaksi mengenai perkara itu. Berita asal