Parti Keadilan Nasional hari ini mengesahkan akan bertanding di 25 daripada 62 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihanraya negeri Sarawak yang diadakan 27 September ini.

Pengarah pilihanraya pusat parti itu, Mohamad Azmin Ali, sebagai parti yang mewakili pelbagai kaum, Keadilan akan turut bertanding dikawasan majoriti pengundinya terdiri daripada kaum bumiputera tempatan.

"Sebagai parti multi bangsa dan multi etnik, kita (Keadilan) akan bertanding di di kawasan Melayu, Cina dan termasuk kawasan yang majoritinya adalah kaum Dayak dan Bidayuh," katanya, yang juga ketua perhubungan Selangor, apabila dihubungi malaysiakini petang tadi.

Beliau memberitahu, presiden Datin Dr Wan Azizah Wan Ismail akan melancarkan jentera pilihanraya parti itu Khamis ini.

DUN Sarawak dibubarkan semalam bagi membolehkan pilihan raya negeri yang kelapan diadakan. Pembubaran itu diumumkan oleh ketua menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud selepas mendapat persetujuan Yang Dipertua Negeri, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng.

Menurut Azmin, isu-isu yang akan diutarakan dalam kempen pilihanraya itu termasuk pengambilalihan tanah adat yang didakwa tidak diberikan pampasan oleh kerajaan negeri.

"Ini adalah isu besar di negeri itu, terdapat beberapa kes yang berkaitan yang telah dibawa ke mahkamah dan ada juga kes yang telah dimenangi oleh pemilik tanah Bumiputera yang menuntut," katanya.

Tambahnya, isu rasuah dan pembangunan negeri turut menjadi tema kempen pilihanraya Keadilan.

"Masalah kronisme dan nepostime telah berakar umbi di negeri itu. Kekayaan negeri hanya berlegar di kalangan mereka yang rapat dengan keluarga pemerintah, dan kerana itu pembangunan di Sarawak tempang (tidak sama rata)," katanya.

Pengundi hantu

Dalam pilihanraya negeri 1996, Barisan Nasional berjaya menguasai 58 kerusi DUN, sementara tiga kerusi diwakili oleh wakil rakyat bebas dan satu oleh DAP.

Daripada 59 kerusi, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menguasai 29, Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) 14, Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) 8 dan Parti Kebangsaan Sarawak (Snap) 7.

Rakan gabungan Keadilan dalam Barisan Alternatif, DAP dilaporkan akan meletakkan 13 calon.

Parti-parti lain yang bertanding termasuk PAS, Parti Reformasi Negeri (Star) dan calon-calon bebas, khususnya yang diketuai oleh kumpulan bekas pemimpin PBB Datuk Abang Abu Bakar Abang Mustapha.

Hari penamaan calon ditetapkan pada 18 September dan tempoh berkempen selama sembilan hari.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Datuk Abdul Rashid Rahman berkata terdapat 868,487 pengundi dalam daftar pemilih terbaru, peningkatan 54,140 orang berbanding 1996.

Daripada jumlah yang layak, 17,736 orang akan mengundi secara pos.

Ketika mengumumkan tarikh-tarikh itu hari ini, Abdul Rashid memberitahu, beliau akan mencadangkan kepada kerajaan negeri agar menjadikan hari pilihanraya itu nanti sebagai cuti umum kerana lebih 1,000 sekolah digunakan sebagai tempat membuang undi.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan masalah pengundi hantu, beliau berkata SPR telah mengambil beberapa langkah bagi memastikan tidak ada nama pendatang haram dalam daftar pemilih.