Berita Malaysiakini

Osman sudah buat yang terbaik, kata Muhyiddin

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Kedudukan Menteri Besar Johor, Osman Sapian tidak perlu dibangkitkan demi memastikan kestabilan politik di negeri itu, kata presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.

Menteri Dalam Negeri itu berkata ahli atau parti komponen boleh menyuarakan pendapat melalui saluran yang betul sekiranya ada perkara berbangkit.

“Bagi menentukan politik di negeri ini stabil, kedudukan Menteri Besar tidak seharusnya dibangkitkan, lagipun kita ada peraturan-peraturan, kalau berbangkit dalam parti boleh menyalurkan dalam parti seperti konvensyen. Ini satu daripada cara.

“Kita mengamalkan dasar demokratik terbuka, tetapi kalau ada usaha-usaha untuk buat itu ini, ia tidak baik bukan sahaja untuk individu, tetapi negeri Johor. Jadi kita perlu terima, bagi saya Datuk Osman sudah buat apa yang terbaik setakat hari ni,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan usaha melobi seorang exco di negeri itu untuk dijadikan Menteri Besar pada sidang media selepas menghadiri Konvensyen Bersatu Johor 2018 di Kulai hari ini.

Osman sendiri turut hadir dalam konvensyen berkenaan.

'Rakyat perlu beri sokongan'

Muhyiddin berkata, beliau tidak menafikan Osman pernah beberapa kali bertemu dengannya dan perdana menteri Dr Mahathir Mohamad bagi membincangkan pelbagai perkara.

“Jadi rakyat perlu beri sokongan supaya kerajaan PH Johor mantap. Itu bagi saya amat mustahak,” katanya.

Osman baru-baru menerima kritikan apabila kerajaan negeri membatalkan pewartaan Pulau Kukup sebagai taman negara yang dilindungi.

Keputusan itu dibuat ketika mesyuarat exco pada 24 September lalu.

Antara yang mengkritik Osman ialah tokoh wartawan A Kadir Jasin yang menggesa menteri besar itu sama ada memberikan penjelasan atau meletakkan jawatan.

Kadir sendiri dilihat merupakan penyokong kuat Mahathir.

Semalam, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, mendedahkan istana sedar ada pihak cuba melobi salah seorang exco kerajaan negeri dalam cubaan untuk menggantikan Osman.

TMJ, dalam akaun Twitternya, berkata: “Anda bukan seorang Perdana Menteri. Apa yang membuatkan anda berfikir dengan cuba melobi seseorang menjadi Menteri Besar yang boleh menjadi boneka anda, anda boleh mengawal Johor?

“Anda melobi seorang exco kami menjadi Menteri Besar. Kami tahu itu. Ini bukan lagi 1992. Negeri Johor masih ada Sultan yang memerintah,” katanya.