Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
‘Kamu bukan PM' - TMJ ingatkan pihak cuba tukar MB
Diterbitkan:  Dec 7, 2018 5:28 PM
Dikemaskini: 3:22 PM

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim melahirkan rasa tidak puas hati baginda terhadap pihak tertentu yang didakwa cuba 'menukar' menteri besar Johor.

Menulis di laman Twitter, baginda mengingatkan bahawa Johor masih mempunyai seorang sultan yang memerintah.

“Kamu bukan perdana menteri. Apa yang membuatkan kamu berfikir dengan cuba melobi mempunyai menteri besar yang akan menjadi boneka, kamu boleh menguasai Johor?

“Kamu melobi seorang daripada exco kami untuk jadi MB (menteri besar). Kami tahu. Ini bukan lagi tahun 1992. Negeri Johor masih ada sultan yang memerintah,” ciapnya.

Tunku Ismail tidak menyebut sebarang nama pada hantaran di Twitter itu. Bagaimanapun, baru-baru ini anggota Majlis Tertinggi Bersatu A Kadir Jasin telah mendesak Menteri Besar, Osman Sapian menjelaskan mengenai penukaran status Pulau Kukup sebagai sebuah taman negara.

 

Menulis di blog, Kadir berkata jika Osman gagal memberikan penjelasan, adalah lebih baik bagi bekas pemimpin Umno yang kini bersama Bersatu itu meletak jawatan.

"Saya ingin bertanya kepada Osman jika dia bercakap benar apabila dia memberitahu saya sebelum bermula mesyuarat majlis kepimpinan tertinggi Bersatu pada 28 Nov, bahawa istana (Johor) tidak campur tangan dalam pentadbiran negeri itu.

"Saya bertanya kepadanya mengenai kebenaran khabar angin bahawa Istana mengambil tanah negeri - walaupun ia berukuran kurang daripada setengah ekar.

"Dia kata tidak, tetapi dia kata dia tidak tahu sama ada perkara itu berlaku semasa kerajaan negeri di bawah BN," tulis Kadir di blognya.

Kadir turut mengingatkan Osman bahawa menteri besar itu berada bersama kerajaan BN selama tiga penggal dari tahun 1999 hingga 2013, sebelum bertanding mewakili Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum (PRU) 9 Mei.

Pada 5 Disember lalu, Tunku Ismail menjelaskan bahawa pembatalan pewartaan Pulau Kukup sebagai taman negara yang dilindungi adalah supaya membolehkan ia diklasifikasikan sebagai tanah kesultanan.

Titah baginda, tindakan itu supaya kawasan hutan bakau tersebut akan lebih terjaga dan dilindungi selepas statusnya diubah.

Namun, sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam  meluluskan usul tergempar agar Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Johor mengkaji semula status Taman Negara Pulau Kukup.

Ini walau bagaimanapun dikritik oleh Tunku Mahkota Johor yang mendakwa ada pihak cuba mempolitikkan isu itu kerana hal-ehwal mengenai tanah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Osman hari ini dipetik sebagai berkata, kerajaan negeri akan menyatakan pendiriannya berhubung kedudukan Pulau Kukup, Pontian sebagai Taman Negara pada sesi penggulungan Dewan Undangan Negeri (DUN), Ahad ini.

Katanya, kesempatan sesi itu turut akan digunakan oleh beliau untuk menjawab segala persoalan yang dibangkitkan wakil rakyat dalam perbahasan mereka.


Pulau Kukup yang terletak di Pontian sudah menjadi taman negara sejak 1997.

Menurut dokumen yang dilihat Malaysiakini, keputusan mengenai isu itu dibuat semasa mesyuarat exco pada 7 Mac lalu iaitu ketika Johor masih ditadbir oleh BN.

Pulau Kukup yang terletak di Pontian sudah menjadi taman negara sejak 1997.

Selain Pulau Kukup, lima taman negara yang dimiliki oleh Johor adalah: Endau-Rompin Peta, Endau-Rompin Selai, Tanjung Piai, Gunung Ledang dan Taman Laut Sultan Iskandar.

Pulau Rawa, yang terletak di Taman Laut Sultan Iskandar, dimiliki oleh keluarga diraja Johor.

Lihat Komen
ADS