Berita Malaysiakini

PM: Pertikaian sempadan dengan S'pura selesai ikut undang-undang

Diterbitkan  | 

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata pertikaian antara Malaysia dan Singapura berhubung sempadan ruang udara dan maritim akan ditangani berlandaskan peruntukan undang-undang dan hak negara.

Dr Mahathir berkata banyak pihak sering membuat dakwaan mengenai sempadan masing-masing sehingga mencetuskan pelbagai pertikaian.

“Jadi, kita akan selesaikan pertikaian ini berdasarkan peruntukan undang-undang dan hak kita,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di sini, hari ini.

Dr Mahathir, yang juga pengerusi PH, berkata apa yang penting ialah Singapura bersetuju untuk mengadakan rundingan dengan Malaysia mengenai perkara itu.

“Sehingga rundingan itu berakhir, kita tidak boleh memberi jawapan muktamad,” katanya.

Semangat memelihara hubungan

Semalam, Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan dilaporkan sebagai berkata negara itu menolak cadangan Malaysia supaya kedua-dua negara menghentikan sebarang penghantaran aset ke kawasan yang dipertikaikan di Selat Johor.

Kementerian Luar Singapura, dalam kenyataan semalam, berkata, republik itu “kekal sedia untuk membincangkan isu ini secara konstruktif dengan Malaysia dalam semangat memelihara hubungan penting dua hala.”

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir berkata, ahli perniagaan dalam buruan pihak berkuasa, Low Taek Jho atau Jho Low tidak perlu bimbang untuk mendapat perbicaraan adil di negara ini.

Pada Selasa, Jho Low didakwa, tanpa kehadiran tertuduh, di sebuah mahkamah di Kuala Lumpur atas tujuh pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ahli perniagaan itu dalam kenyataannya menerusi sebuah syarikat perhubungan awam di Sydney, Australia, pada hari yang sama, mendakwa dia tidak mungkin mendapat perbicaraan yang adil​.

Dia mendakwa pertuduhan mahkamah terhadapnya bertujuan mengalihkan perhatian terhadap kegagalan 'rejim Mahathir’ mentadbir negara.

Dia mendakwa pentadbiran PH di bawah pimpinan Dr Mahathir telah mengabaikan kedaulatan undang-undang dan salah tafsir Perlembagaan Persekutuan.

- Bernama