Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Rata-rata peniaga pada perhimpunan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) semalam memang menjangkakan akan menjana keuntungan memuaskan.

Hal itu berdasarkan kepada pengalaman yang dilalui apabila banyak penjaja tetap atau bergerak memperoleh laba semasa perhimpunan lain berlangsung sebelum ini.

Bagaimanapun, tidak semua memperoleh keuntungan seperti diharapkan.

Lebih-lebih lagi bagi peniaga minuman yang ditemui oleh Malaysiakini.

Menurut mereka, ini kerana ramai dalam kalangan peniaga semalam terutama dari luar ibu kota menjual barangan yang sama hingga mewujudkan saingan sengit.

Peniaga minuman Khairul Anam, 26, dari Alor Setar, Kedah berkata jualannya tidak sama seperti himpunan yang dihadiri ketika Himpunan RUU355 di Padang Merbok pada awal tahun lalu.

Himpunan tersebut merupakan anjuran PAS sebagai tanda solidariti kepada pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau juga dikenali sebagai Akta 355.

"Jualan slow sikit sebab ramai peniaga dan jual benda yang sama.

"Kalau dulu masa Himpunan RUU355 nak dapat RM2,000 pun senang tapi hari ni RM1,000 pun susah," katanya ketika ditemui di hadapan Masjid Negara.

Anwar Ismail dari Ipoh, Perak juga senada dengan Khairul kerana berasakan keadaan peserta yang hadir terlampau menyukarkannya untuk berniaga, memandangkan dia hanya menggunakan troli untuk menolak barangan jualan.

"Hari ni slow sikit (perniagaan) walaupun cuaca panas. Lagipun hari ni peniaga ramai. Lepas itu tiada ruang untuk berjalan sebab tak ada tempat sesuai nak letak barang (niaga).

"Hari ni pula peniaga ramai. Saya pukul 3 pagi dah tidur sini - tidur merata-rata. Walaupun ada hotel-hotel murah tapi dah penuh, lagipun jual ini (baju hujan dan air minuman) berapa saja dapat," katanya yang turut hadir pada Bersih 2 dan Bersih 3 untuk berniaga.

Anwar Ismail

Katanya, dia hadir bersama empat rakannya dan mereka terpaksa tidur di dalam van dalam keadaan yang sempit.

Bagi salah seorang peniaga baju T, Mohammad Zulkhairi Mohd Syukri, 19, pula berkata jualannya agak laku namun terpaksa menanggung risiko rugi sekiranya ia tidak habis terjual.

"Di Kedah, saya berniaga di pasar jual jersi bola. Saya datang memang dua dalam satu - nak sokong (perhimpunan) dan nak jual baju T.

"Jualan setakat ini semakin meningkat dalam 70 peratus. Cuma bila jual ambil risiko sebab kalau tak habis orang tak beli lagi. Orang beli hari ini saja, tak macam jual jersi," katanya yang menjual baju T tersebut sebanyak 100 helai dengan harga RM20 setiap satu.

Mohammad Zulkhairi (kanan)

Katanya, dia hadir bersama seorang lagi rakannya dari Baling, Kedah menaiki bas sejak 10 malam Jumaat. 

PAS bersama pertubuhan bukan kerajaan menggerakkan himpunan membantah Icerd yang dihadiri lebih 50,000 orang semalam.

Umno pula hadir sebagai penyokong.

Antara tokoh utama Umno yang datang ialah presidennya Dr Ahmad Zahid Hamidi, timbalan presiden Mohamad Hasan, setiausaha agung Annuar Musa serta bekas perdana menteri Najib Razak bersama isteri Rosmah Mansor.

Ahmad Zahid mendakwa himpunan tersebut dihadiri setengah juta orang, manakala polis menganggarkan kira-kira 55,000.

Untuk rekod kerajaan sudah mengesahkan untuk tidak menerima Icerd sebelum himpunan tersebut berlangsung.

Lihat Komen
ADS