Haramkan surat sokongan menteri, pembantu - Latheefa
Kerajaan perlu mengharamkan amalan 'tidak bermoral' dilakukan menteri dan pembantu mereka yang mengeluarkan surat sokongan untuk anggota parti, kata peguam dan aktivis Latheefa Koya.
Pengarah eksekutif Lawyers For Liberty itu berkata amalan sedemikian boleh menafikan hak rakyat biasa, terutama mereka yang lebih layak mendapatkan peluang apabila membuat bidaan sesuatu tender.
Kenyataan itu dibuat susulan surat Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri, Romli Ishak mengenai kontrak katering seperti yang dilaporkan baru-baru ini.
Namun, Romli menafikan surat itu - yang dicetak menggunakan kepala surat Pejabat Timbalan Perdana Menteri - adalah surat sokongan sebaliknya hanya "rujukan" yang disertakan bersama bidaan berkenaan.
Dalam satu kenyataan hari ini, Latheefa berkata amalan itu menyerupai rasuah dan bertentangan dengan etika serta urus tadbir yang baik.
"Ia juga merupakan amalan yang tidak bermoral. Kerajaan telah dipilih untuk memberi perkhidmatan kepada semua warganegara secara sama rata [...] Adakah wajar semua orang awam didiskriminasi hanya kerana mereka tidak menjadi anggota parti politik yang berkuasa ?
"Harus diingat surat itu dikeluarkan di bawah kepala surat TPM sendiri, pemimpin kedua tertinggi yang terpilih di negara ini.
"Kami menyeru Perdana Menteri Dr Mahathir (Mohamad) dan kabinet untuk segera mengumumkan larangan penuh ke atas surat sokongan untuk ahli parti oleh menteri, setiausaha politik atau pembantu rasmi," katanya.
Tuntut penjelasan
Sementara itu beliau menuntut penjelasan Wan Azizah Wan Ismail mengenai surat sokongan berkenaan.
"Sekiranya beliau tidak tahu, ia menimbulkan persoalan serius mengenai penyalahgunaan kepala surat timbalan perdana menteri untuk tujuan tidak sah.
"Sebaliknya, jika TPM sedar, beliau mesti menjelaskan mengapa beliau membenarkan amalan seperti BN ini berlaku," katanya.
Isu mengenai surat tersebut mula diperkatakan apabila gambar mengenainya beredar di media sosial.
Romli berkata surat itu "tidak mempunyai nilai" dan tidak membayangkan salah guna kuasa kerana ia tidak pernah meminta supaya kontrak itu diberikan kepada pembida, dan tidak menyatakan sokongan untuk bidaan tersebut.
Beliau juga mendakwa ahli parti sering meminta surat untuk disertakan bersama bidaan mereka sebagai rujukan.

