Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
'BN abai hak asasi punca ramai tolak Icerd'
Diterbitkan:  Dec 9, 2018 6:40 PM
Dikemaskini: 10:40 AM

Pendekatan pentadbiran BN yang mengabaikan pendidikan hak asasi manusia selama ini menyebabkan ramai yang mempunyai tanggapan salah terhadap Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) dan justeru membantahnya, kata pemuda DAP.

Setiausahanya Teh Hoong Keat berkata memandangkan ramai yang tidak memahami konvensyen PBB itu, ia mudah diburuk-burukkan oleh parti politik melalui "penipuan, informasi palsu dan kenyataan rasis".

“Jika masyarakat memperoleh pendidikan sivik yang menyeluruh, maka mustahillah mereka dapat mengambil kesempatan untuk mempergunakan agama dan bangsa sebagai modal politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, katanya, Pemuda DAP menerusi kongres kebangsaannya 2 Disember lalu telah meluluskan usul menggesa kerajaan memperkasakan pendidikan dalam soal hak asasi manusia di institut pendidikan tinggi (IPT) di negara ini.

"Sesi penerangan dan diskusi berhubung dengan perjanjian teras hak asasi antarabangsa harus diperbanyak di IPT awam dan swasta.

“Kempen kesedaran hak asasi manusia oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dalam pelbagai bahasa juga harus digalakkan supaya informasi (dapat) menjangkau semua lapisan masyarakat,” katanya lagi.

Susulan bantahan pelbagai pihak, kerajaan membatalkan hasratnya untuk meratifikasi Icerd.

Semalam, puluhan ribu memenuhi kawasan sekitar Jalan Raja bagi menyatakan himpunan anjuran NGO Islam dan disokong Umno dan PAS bagi membantah konvensyen itu.

Teh berkata beliau positif prinsip kebebasan bersuara akan terus dihormati dan dipertahankan oleh kerajaan baru berbanding pentadbiran BN yang lalu.

“Dengan menilai tindak balas kerajaan baru terhadap penganjuran forum serta dialog serta sikap keterbukaan terhadap demonstrasi jalanan baru-baru ini, kebebasan bersuara para warganegara adalah dihormati dan dipertahankan oleh kerajaan PH,” katanya, yang dipercayai merujuk himpunan itu walau tidak menyebutnya secara husus.

Hari ini Suhakam menganjurkan sambutan hari hak asasi manusia buat julung-julung kalinya di negara ini sempena sambutan Hari Hak Asasi Manusia Global PBB pada 10 Disember.

Sambutan yang berlangsung di Padang Timur, Petaling Jaya itu pada mulanya dijadual semalam - hari sama himpunan bantah Icerd - tetapi ditangguhkan atas sebab keselamatan. 

Lihat Komen
ADS