Umno Kelantan meminta kerajaan negeri pimpinan PAS agar menyiasat terlebih dahulu latarbelakang sesebuah syarikat yang dikatakan mahu melaksanakan projek mega di negeri ini bagi memastikan mereka benar-benar berkemampuan melaksanakannya.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Annuar Musa berkata, jika projek mega itu gagal dilaksanakan sudah tentu kredibiliti kerajaan negeri akan dipertikaikan rakyat seperti kegagalan melaksanakan beberapa projek mega lain yang dicanangkan sebelum ini.

"Siasat dulu siapa pelaburnya dan betulkah mereka mampu melaksanakannya atau tidak kerana saya khuatir rakyat yang akan tertipu akhirnya setelah digula-gulakan mereka," katanya kepada pemberita selepas majlis ibadat korban di Masjid Haji Musa di Kota Bharu hari ini.

Dua hari lalu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Perpaduan Masyarakat Datuk Anuar Tan Abdullah berkata, sebuah projek mega bernilai RM3 bilion akan dibina berhampiran Pantai Sri Tujuh, Tumpat dalam tempoh tiga bulan lagi.

Syarikat swasta yang tidak disebut nama itu dikatakan akan merangka projek pembangunan bersepadu secara berperingkat di pesisiran pantai itu di atas tapak seluas 1,000 hektar termasuk tebus guna tanah mengikut konsep The Palm di Dubai dan Sanctuary Cove, Australia.

Pusat komersial

Menurut laporan Bernama, projek mega itu akan melibatkan pembinaan resort, marina, perumahan eksklusif, masjid, pembangunan pusat komersial, pusat rekreasi dan kraf.

Mengulas perkara itu lagi Annuar berkata, kegagalan Afta City dan pelabuhan darat yang dicadangkan di Tumpat sepatutnya menjadi pengajaran kepada kerajaan negeri untuk memilih pelabur.

"Saya nasihat lebih baiklah tumpu kepada bagaimana mahu membantu rakyat miskin dari memikirkan projek mega yang sudah tentu tidak berjalan ini," katanya.

Sementara itu, Annuar menyambut baik langkah kerajaan negeri yang membenarkan pusat snuker dibuka semula demi pembangunan sukan itu.

Katanya, kebenaran semula permainan snuker itu membuktikan langkah mengharamkan sukan itu sebelum ini ternyata satu kesilapan besar.

"Snuker ini sukan di peringkat antarabangsa dan jangan timbul kekeliruan antara judi dan sukan," katanya.