Ubat tradisional langsing lelaki ada racun berjadual
Kementerian Kesihatan telah membatalkan pendaftaran keluaran ubat tradisional melangsing badan untuk lelaki, "Orgacare Unik Plus-1" yang dikesan mengandungi tadalafil, bahan kimia yang dikategorikan sebagai racun berjadual.
Kementerian Kesihatan telah membatalkan pendaftaran keluaran ubat tradisional melangsing badan untuk lelaki, "Orgacare Unik Plus-1" yang dikesan mengandungi tadalafil, bahan kimia yang dikategorikan sebagai racun berjadual.
Menterinya, Datuk Dr Chua Soi Lek hari ini berkata, Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) turut menerima maklumat daripada agensi regulatori luar negara yang memaklumkan bahawa produk yang diimport dari Malaysia itu telah diuji positif untuk tadalafil dan juga sildenafil, sejenis lagi bahan racun berjadual.
Ubat-ubat yang mengandungi kedua-dua bahan itu hanya boleh diambil dengan preskripsi doktor untuk lelaki yang menghadapi masalah mati pucuk.
"Pengguna seharusnya tidak menggunakan sildenafil atau tadalafil tanpa preskripsi doktor sebab ubat ini boleh membawa kesan mudarat kepada pesakit tertentu seperti mereka yang mempunyai masalah jantung dan diabetes.
"Interaksi di antara sildenafil dan tadalafil dengan beberapa jenis ubat boleh mengakibatkan kesan sampingan yang serius seperti penurunan tekanan darah jika diguna bersama ubat untuk darah tinggi," kata Dr Chua dalam satu kenyataan.
Menurut laporan Bernama, beliau menasihati sesiapa yang mempunyai stok ubat tradisional itu supaya menghentikan penjualan, pengedaran atau penggunaan dengan serta merta.
Penjualan keluaran itu menyalahi Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Sesiapa yang disabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM25,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama, dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun untuk kesalahan kedua dan berikutnya.
Syarikat yang terbabit boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan kedua dan berikutnya.

