Tajuddin nak 'sekolahkan' PBB
Selepas menghamburkan kata-kata kesat terhadap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pemimpin veteran Umno Tajuddin Abd Rahman hari ini menyatakan hasrat untuk 'menyekolahkan' badan dunia itu.
Anggota Parlimen Pasir Salak itu berkata, beliau ingin menjemput wakil PBB ke Malaysia dan mengadakan dialog bersama.
"Jika mereka ingin tahu lebih lanjut tentang apa yang berlaku di Malaysia, bagaimana rakyat Malaysia hidup bersama meskipun dengan hak keistimewaan Bumiputera, kita (sebenarnya) menghormati satu sama lain.
"Tiada diskriminasi. Jangan mereka nak pandai-pandai tuduh kita mendiskriminasikan (kaum lain).
"Saya ingin menjemput mereka. Saya ingin menjemput PBB untuk jadi tetamu saya.
"Datang ke Malaysia dan berdialog dengan saya supaya kita sekolahkan dia (PBB)," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Selain PBB, beliau juga menjemput Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) untuk berdialog dengannya sekali.
Tajuddin ketika himpunan kesyukuran keputusan kerajaan tidak meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) pada Sabtu lalu berkata "go to hell with United Nation" (pergi jahanam dengan PBB).
Mengulas lanjut mengenai kata-katanya pada Sabtu lalu, Tajuddin menjelaskan apa yang dimaksudkannya ialah PBB cuba untuk menyamaratakan Malaysia seperti negara lain dengan peraturan dan syarat yang ditetapkan.
Katanya, meskipun sudah banyak negara Islam, salah satunya Arab Saudi, telah meratifikasikan Icerd, ia tidak boleh disamakan dengan situasi di Malaysia.
"Dia (PBB) mana tahu kedudukan dalam sesebuah negara itu. Dia tak boleh samakan Arab Saudi sebuah negara Islam dengan negara Islam, Malaysia," katanya.
Selain Malaysia, negara lain yang tidak meratifikasi Icerd adalah Korea Utara, Myanmar, Angola, Bhutan, Brunei dan negara baru - Sudan Selatan.
"Mereka (PBB) nak melihat tiada perbezaan antara Bumiputera dan bukan Bumiputera.
"Jika anda tidak tahu sejarah, latar belakang sesuatu negara itu, bagaimana kita hidup bersama, maaflah, tak usah masuk campur.
"Itu maksud saya go to hell (pergi jahanam)," katanya.

