Malaysiakini BERITA

Saya orang miskin, kata Menteri Pelancongan

Yasmin Ramlan

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Seorang lagi menteri kabinet hari ini mendedahkan mereka adalah "orang miskin" justeru tiada harta yang perlu diisytiharkan.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Mohamaddin Ketapi berkata beliau tidak memiliki rumah atau kereta untuk dimasukkan dalam pengisytiharan harta seperti dilakukan kebanyakan anggota kabinet.

"Saya tidak mempunyai apa-apa untuk diisytiharkan. Orang miskin mana ada harta," katanya kepada media di parlimen hari ini.

Bagaimanapun anggota parlimen Silam itu tidak menolak kemungkinan pada masa depan beliau akan membuat pengisytiharan berkenaan.

"Jika pada masa akan datang saya ada (akan isytihar), tapi buat masa sekarang saya tidak ada," katanya.

Semalam Bernama melaporkan ada 13 anggota parlimen belum mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Antara mereka ialah Presiden PKR Anwar Ibrahim yang juga anggota parlimen Port Dickson.

Semakan itu dibuat berdasarkan Portal Pengisytiharan Harta (https://mydeclaration.sprm.gov.my/) sehingga jam 5 petang semalam.

[Berita lanjut menyusul]