Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nazri: Tanpa Umno, MCA boleh 'bersemadi dengan tenang'

Setiausaha Agung BN Nazri Aziz mendakwa MCA hanya "bercakap besar" mahu supaya gabungan itu dibubarkan namun pada hakitatnya mereka terlalu takut.

Katanya MCA juga sedar bahawa Umno akan menjadi lebih kuat jika parti terbabit ditinggalkan.

"Mereka (MCA) betul-betul takut. Mereka hanya bercakap besar, apa saja yang berlaku didakwa salah Umno.

"Mereka sangat takut," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Malaysiakini pada 2 Dis lalu melaporkan Mesyuarat Agung MCA meluluskan resolusi meminta supaya BN dibubarkan bagi membolehkan gabungan baru dibentuk.

Menurut Presiden MCA Wee Ka Siong pakatan baru itu akan ditubuhkan pada masa yang sesuai.

Tambah Wee, hampir semua perwakilan pusat MCA yang menghadiri mesyuarat tertutup itu mengangkat tangan sebagai tanda bersetuju dengan resolusi itu berkenaan.

Apa MCA boleh buat

Bagaimanapun beberapa perwakilan yang ditemui sebelum itu menyatakan rasa tidak senang mereka apabila resolusi berkenaan dibuat supaya BN dibubarkan.

Kata mereka, usul yang sepatutnya dibincangkan ialah sama ada MCA perlu keluar dari BN atau tidak.

Menurut Nazri jika MCA tidak berpuas hati dengan BN langkah yang terbaik boleh diambil mereka ialah keluar daripada gabungan berkenaan.

"Kalau Umno kata tidak, apa yang mereka boleh buat?

"Saya tahu mereka tak berani meninggalkan Umno kerana tahu tak, kalau mereka meninggalkan Umno, saya rasa kamu boleh ucapkan selamat bersemadi dengan tenang kepada mereka," katanya yang juga bekas menteri.

Nazri menambah MCA belum lagi menulis surat untuk membincangkan cadangan membubarkan BN.

Malah katanya BN juga hanya mengetahui mengenai resolusi tersebut melalui laporan media. Justeru kata anggota parlimen Padang Rengas itu BN tidak menetapkan sebarang tarikh untuk mengadakan mesyuarat majlis tertinggi parti berkenaan.

Katanya lagi MCA boleh mencontohi sebuah lagi parti yang sudah meninggalkan BN, iaitu Gerakan.

"Mengapa nak buat susah-susah? Kalau tak suka BN, tinggalkanlah macam apa yang Gerakan buat.

"Kamu tahu kami tak mahu bubarkan BN, jadi apa yang kamu boleh buat?" katanya.

Lihat Komen
ADS