SPR buang lebih 5,000 nama bukan warganegara
Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) membuang 5,276 nama bukan warganegara Malaysia yang telah tersenarai dalam daftar pemilih untuk digunakan pada pilihanraya negeri Sarawak akhir bulan ini.
Selepas dibersihkan, seramai 868,487 orang layak mengundi, termasuk 17,726 orang secara pos. Daripada jumlah itu, 54,140 pengundi baru.
Ketika mengumukan perkara itu hari ini, pengerusi SPR Datuk Abdul Rashid Abdul Rahman berkata tarikh penamaan calon dijadualkan pada 18 September dan tempoh berkempen ditetapkan sembilan hari.
Tempoh pengundian kali diadakan satu hari sahaja, berbanding dua hari sebelum ini.
SPR akan menggunakan 39 buah helikopter untuk membawa petugas dan peti undi ke semua 62 kawasan pilihanraya. Sementara 14,636 petugas disediakan, kebanyakannya guru, di 1,723 tempat mengundi.
Abdul Rashid berkata SPR membelanjakan RM22.2 juta untuk mengendalikan pilihanraya kali ini, termasuk kos menyewa helikopter.
Mengenai isu pengundi hantu, Abdul Rashid berkata SPR "tidak dapat memberikan jaminan 100 peratus" bahawa daftar pemilih itu bersih dan ia tertakluk kepada maklumat yang diterima suruhanjaya itu.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.