Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PARLIMEN | Dewan Rakyat hari ini meluluskan rang undang-undang pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) untuk membenarkan pelajar terlibat dalam kegiatan politik kepartian dalam kampus.

Turut diluluskan adalah pundaan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 dan Akta Institusi-institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976.

Menteri Pendidikan Maszlee Malik memberi jaminan pindaan Auku akan menghapuskan budaya takut di institusi pengajian tinggi.

Ketika menggulung perbahasan pindaan Auku di Dewan Rakyat hari ini, Maszlee juga berkata universiti boleh mengundang ahli politik - sama ada di pihak kerajaan dan juga pembangkang - untuk program dalam kampus dengan kelulusan naib canselor.

Semua kes disiplin terhadap pelajar kerana terlibat dalam politik yang masih berjalan pada masa ini tidak akan diteruskan apabila pindaan Auku berkuatkuasa, katanya lagi.

Beliau bagaimanapun berkata pelajar yang terlibat dalam kegiatan politik tetap tertakluk kepada undang-undang dan peraturan yang berkaitan.

"Kita harap mahasiswa dapat menggunakan kebebasan ini dengan penuh tanggungjawab," katanya.

Beliau berkata, kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan tidak akan masuk campur lagi dalam pengurusan universiti dan menentukan soal berkaitan kegiatan politik di sana.

Pakatan Harapan (PH) sebelum ini berikrar untuk memansuhkan Auku dan menggantikannya dengan akta baru pada 2020.

Selepas diperkenalkan pada 1971, akta itu dipinda pada 1975 oleh Dr Mahathir Mohamad - menteri pendidikan ketika itu - untuk menghentikan demonstrasi pelajar.

Akta itu menjadi antara kritikan utama aktivis dan pemimpin PH ketika era pentadbiran BN.

Lihat Komen
ADS