Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata beliau masih mempunyai masa untuk membuat pengisytiharan harta berikutan baru saja menjadi anggota parlimen kira-kira dua bulan lalu.

Anggota Parlimen Port Dickson itu berkata beliau tidak melanggar tempoh tiga bulan yang ditetapkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Sabarlah...dia (SPRM) beri masa tiga bulan, saya baru menang PRK," katanya ketika ditemui pemberita selepas program Meet Anwar di Universiti Putra Malaysia di Serdang, malam ini.

Wakil Rakyat Pakatan Harapan (PH) diwajibkan membuat pengisytiharan harta dalam masa tiga bulan selepas mengangkat sumpah.

Menurut laporan Bernama 9 Disember lalu, Anwar di kalangan 13 anggota parlimen PH yang belum berbuat demikian dengan SPRM, berdasarkan Portal Pengisytiharan Harta (https://mydeclaration.sprm.gov.my/).

Antara 13 anggota parlimen itu ialah Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Mohamaddin Ketapi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waythamoorthy.

Faizal sebelum ini memaklumkan sudah berbuat demikian tetapi maklumatnya belum dikemas kini pihak berkuasa.

Mohammadin pula menyifatkan dirinya "orang miskin" dan tiada harta untuk diisytiharkan, manakala Waytha Moorthy berkata sudah mengisytiharkan sumber pendapatan tetapi tiada sebarang harta.



Lihat Komen
ADS