BERITA Malaysiakini

Waytha dah isytihar harta, dua kereta tapi...

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waythamoorthy berkata dia sudah membuat pengisytiharan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dua bulan lalu.

Kata anggota Dewan Negara itu termasuk dalam pengisytiharan tersebut ialah dua buah kereta yang didaftarkan dengan namanya.

Bagaimanapun kata Waythamoorthy pada paparan laman sesawang SPRM kolum harta untuknya dibiarkan kosong.

Waythamoorthy berkata pegawainya sudah meminta penjelasan daripada SPRM mengenai ruangan harta pada namanya yang dibiarkan kosong itu.

"Saya dimaklumkan bahawa SPRM tidak menganggap kereta sebagai aset, justeru ruang tersebut dibiarkan kosong," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan Waythamoorthy sebagai berkata beliau tidak mempunyai sebarang harta untuk diisytihar kepada SPRM.

Waythamoorthy yang merupakan pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) itu berkata, beliau menghabiskan wangnya sebelum ini untuk memperjuangkan masyarakat India.

"Saya sepanjang hidup saya (menjadi) aktivis, semua pendapatan saya dibelanjakan untuk memperjuangkan nasib masyarakat India yang miskin.

"Saya pun dulu peguam, tapi saya tak ada (harta) sebab semua pendapatan saya sekian lama saya dah belanjakan macam itu (perjuangkan masyarakat India)," katanya.

Bagaimanapun hari ini beberapa blog propembangkang menular gambar dua buah kenderaan yang dikaitkan dengan Waythamoorthy.

Dua kenderaan tersebut ialah kereta Nissan Cefiro berusia 10 tahun dan Toyota Camry berusia enam tahun.